GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Polis menahan pengasuh wanita bagi membantu siasatan berhubung kematian bayi perempuan berusia tujuh bulan di bawah jagaannya, di sini, semalam.

Wanita berusia 30-an itu direman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, penahanan wanita itu dibuat selepas pihaknya menerima maklumat daripada Hospital Seberang Jaya (HSJ) memaklumkan kematian seorang bayi perempuan.

"Hasil siasatan, bayi itu ditinggalkan pasangan suami isteri kepada pengasuh (suspek) itu untuk dijaga setiap hari ketika hari bekerja.

"Ketika kejadian, bayi itu dikatakan tidur dalam buaian dan ketika suspek membetulkan kedudukan bayi berkenaan didapati bayi itu tidak sedarkan diri," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pengasuh terbabit membawa bayi itu ke HSJ untuk mendapatkan rawatan, namun kira-kira jam 4 petang hari sama, bayi itu disahkan meninggal dunia.

Katanya, bedah siasat ke atas bayi itu mendapati punca kematian disebabkan jangkitan kuman pada salur pernafasan.

"Susulan kematian bayi itu, polis menahan pengasuh itu untuk tindakan lanjut," katanya memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Mei 2024 @ 5:32 PM