Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Pasar Borong Pulau Mutiara Gat Lebuh Macallum, di sini, ditutup serta-merta bermula hari ini berikutan lima peniaga didapati positif Covid-19.

Penutupan berkenaan membabitkan 41 gerai berkuat kuasa sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menerusi kenyataannya berkata, penghadang sudah dipasang di semua lorong ke pasar berkenaan bagi kerja sanitasi dan disinfeksi dijalankan.

"MBPP menasihati persatuan di semua pasar dan kompleks makanan supaya memastikan kawalan pengunjung dilaksanakan dengan baik pada setiap masa.

"Individu yang berstatus 'risiko tinggi' dalam aplikasi MySejahtera adalah dilarang masuk ke dalam premis pasar dan kompleks makanan.

PASAR Borong Pulau Mutiara, Gat Lebuh Macallum ditutup mulai hari ini. FOTO Mikail Ong
PASAR Borong Pulau Mutiara, Gat Lebuh Macallum ditutup mulai hari ini. FOTO Mikail Ong

"Tindakan penguatkuasaan termasuk penutupan premis akan dibuat sekiranya ada pelanggaran prosedur operasi standard (SOP)," katanya.

Tinjauan di pasar berkenaan pada 4 petang tadi mendapati premis itu sudah dikosongkan dan dipantau pihak berkuasa tempatan (PBT) selain polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP Yew Tung Seang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkalan Kota Danial Gooi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Julai 2021 @ 7:21 PM