KAKITANGAN Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan proses sanitasi di dalam kawasan PBKL yang ditutup. FOTO ASYRAF HAMZAH
KAKITANGAN Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan proses sanitasi di dalam kawasan PBKL yang ditutup. FOTO ASYRAF HAMZAH
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Penutupan Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) sehingga 16 Mei ini pastinya memberi keuntungan berganda buat peniaga di Pasar Borong Harian Selayang.

Pengerusi Cawangan Pasar Borong Harian Selayang, Mohammad Pandu Insani Yahya berkata, penutupan PBKL pastinya memberi kesan kepada kenaikan harga barang.

"Penutupan PBKL menyebabkan pembeli beralih ke Pasar Borong Harian Selayang untuk membeli kelengkapan raya.

"Kita nasihatkan kepada peniaga untuk tidak menaikkan harga barangan sesuka hati menjelang musim perayaan ini," katanya kepada Harian Metro.

Beliau berkata, PBKL menjadi tempat transit untuk pembekal meletakkan barangan jualan mereka.

Menurutnya, penutupan PBKL menyebabkan mereka perlu mencari inisiatif lain untuk meletakkan barangan jualan terbabit.

"Ini memberi kesan kepada pasar raya yang mengambil barang di PBKL dan penutupan itu memberi kesan kepada harga barangan kerana permintaan tinggi, tetapi barangan terhad.

"Sebab bekalan tidak mencukupi manakala permintaan tinggi terutama ayam dan daging yang menjadi bahan utama untuk Aidilfitri.

"Kita berharap tiada kenaikan harga melampau daripada peniaga dan meletakkan harga mengikut bersesuaian atau siling ditetapkan kerajaan," katanya.

Beliau berkata, PBKL ditutup selepas ramai peniaga dan pekerja didapati positif Covid-19 melalui ujian saringan dijalankan.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan mempergiatkan pemantauan melalui Ops Pantau bagi meminimumkan kesan penutupan PBKL.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, KPDNHEP mengambil maklum mengenai situasi pasar borong berkenaan yang ditutup berikutan wabak Covid-19 yang menjangkiti ramai peniaga dan pekerja di sana.

Bahagian penguat kuasa akan mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menilai situasi mungkin boleh menjejaskan bekalan barangan keperluan menjelang Aidilfitri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Mei 2021 @ 4:57 PM