Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Pasar Awam dan Kompleks Makanan Farlim, Bandar Baru Air Itam di sini, ditutup serta-merta berikutan terdapat 18 kes positif Covid-19 dikesan membabitkan peniaga dan pembantu gerai.

Penutupan itu berkuat kuasa jam 11.30 pagi hari ini, sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) berkata, perintah penutupan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengikut Sub-Seksyen 18 (1) (f) Akta Tindakan dan Kawalan Pencegahan Penyakit 1988.

Katanya, penutupan pasar awam dan kompleks makanan itu membolehkan kerja sanitasi dan disinfeksi dijalankan sebagai langkah mengekang penularan pandemik.

"Penutupan membabitkan 159 gerai dalam pasar awam dan 22 gerai dalam kompleks makanan.

"Orang ramai yang berurusan di lokasi berkenaan diminta mengambil perhatian terhadap penutupan premis ini," katanya pada kenyataan.

Selain itu, MBPP bersama Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) juga akan turut menjalankan penilaian Covid-19 terhadap pasar berkenaan.

PENUTUPAN serta merta mulai hari ini di Pasar Awam Farlim dan Komplek Makanan Farlim di Lebuhraya Thean Teik, Air Itam. FOTO Mikail Ong
PENUTUPAN serta merta mulai hari ini di Pasar Awam Farlim dan Komplek Makanan Farlim di Lebuhraya Thean Teik, Air Itam. FOTO Mikail Ong

"MBPP juga menasihati persatuan di semua pasar dan kompleks makanan supaya memastikan kawalan pengunjung dilaksana dengan baik pada setiap masa.

"Individu yang berstatus risiko tinggi dalam aplikasi MySejahtera adalah dilarang masuk ke pasar awam atau kompleks makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:16 PM