KEADAAN SUV yang remuk. (gambar kecil) Mohd Zuki yang maut dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham.
KEADAAN SUV yang remuk. (gambar kecil) Mohd Zuki yang maut dalam kemalangan. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


Dungun: "Saya dan isteri akan jaga dua cucu hingga ke akhir hayat," kata Ali Khan Ahmad Khan, bapa kepada mangsa kemalangan yang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 25, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah, di sini, hari ini.

Ali Khan, 66, berkata, dia menerima berita sedih itu pada 4.30 petang, sebaik selesai bertemu dengan pakar jantung di Hospital Sultanah Nur Zahirah HSNZ Kuala Terengganu.

"Berita itu amat mengejutkan menyebabkan dada saya sakit secara tiba-tiba. Nasib baik saya bawa bekalan ubat sebelum memandu bersendirian pulang ke Dungun," katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Dungun, malam ini.

Dalam kejadian jam 3.10 petang, mangsa Mohd Zuki Yusof, 44 , bersama isterinya, Nur Farraheeda Ali Khan, 41, maut serta-merta di tempat kejadian, manakala anak mereka Nasyeen Umayrai, 10, disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, kira-kira 6.20 petang.

Seorang lagi anak pasangan berkenaan, Damia Irdina, 13, parah dan kini menerima rawatan di Hospital Dungun.

Ali Khan berkata, dia tidak menghadapi masalah menjaga dua anak arwah, Aqeel Zayaan, dua tahun dan Damia Irdina memandangkan kedua-dua cucunya cukup mesra dengan mereka.

"Boleh dikatakan setiap petang mereka sekeluarga berada di rumah saya dan arwah anak sentiasa meninggalkan anak-anak di rumah saya sekiranya mereka mempunyai urusan penting.

"Saya dan isteri (Wan Rahima Wan Chik) berjanji akan memelihara cucu kami dan memberi pendidikan yang terbaik selagi hayat dikandung badan," katanya.

Katanya, sebelum kejadian berlaku, arwah Nur Farraheeda menghantar suaminya ke sekolah, manakala dia dan dua anaknya ke pekan Paka untuk membeli barangan dapur.

"Sebaik selesai, dia menjemput semula suaminya dari sekolah dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka terbabit dalam kemalangan itu.

"Saya reda dengan kehilangan mereka tiga beranak. Sebelum ini, saya pernah berdepan ujian sama selepas anak kelima saya, Syafiq Ali Khan, 20, maut dalam kemalangan 10 tahun lalu," katanya.

Ali Khan berkata, kali terakhir dia bertemu dengan anak dan menantunya itu kelmarin dan kedua-dua mereka tidak menunjukkan sebarang kelakuan pelik.

"Sebaik selesai proses bedah siasat, jenazah tiga beranak itu akan dibawa pulang ke rumah kami di Taman Bakti AMBS dan akan dikebumikan di tanah perkuburan berhampiran," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kenderaan SUV jenis Subaru yang dipandu mangsa dipercayai terbabas ke kanan jalan sebelum bertembung dengan sebuah bas dari arah bertentangan.

"Mayat kesemua mangsa dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut manakala anak mangsa yang patah kaki dihantar ke HSNZ Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut, "katanya.

Katanya, pemandu bas yang berusia 31 tahun cedera di bahagian muka dihantar ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

"Ketika kejadian keadaan jalan basah akibat hujan lebat dan kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987," katanya.

Berita berkaitan:

  • Tiga beranak maut, SUV bertembung bas
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Jun 2021 @ 9:47 PM