Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Datuk Razali Idris (kiri) menyerahkan sebuah tablet kepada Damia Irdina Mohd Zuki. -FOTO ROSLI ILHAM
Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah, Datuk Razali Idris (kiri) menyerahkan sebuah tablet kepada Damia Irdina Mohd Zuki. -FOTO ROSLI ILHAM
Rosli Ilham


Dungun: Dua beradik yatim piatu yang kehilangan ibu bapa mereka selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 25, Jalan Paka-Bandar Al Muktaffi Billah Shah semalam, akan dijadikan anak angkat Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Pengerusinya, Datuk Razali Idris berkata, Ketengah akan memastikan kebajikan dan pendidikan Damia Irdina Mohd Zuki, 13, dan adiknya, Aqeel Zayaan Mohd Zuki, 2, terbela.

Menurutnya, pihaknya akan membiayai pelajaran dan kebajikan Damia Irdina sehingga tamat Tingkatan 5, manakala adiknya itu sehingga darjah enam.

"Ketengah bersetuju membantu kedua-dua beradik ini sebagai anak angkat Kelab Ketengah.

"Selepas tempoh itu, kita akan melihat dan mengkaji semula sebarang bentuk bantuan lain yang diperlukan dua beradik terbabit," katanya ketika melawat kedua-dua beradik itu di rumah nenek merek di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), hari ini.

Razali berkata, beliau bersyukur kerana Damia Irdina sudah dibenarkan keluar dari wad Hospital Dungun, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 3.10 petang semalam, Nur Farraheeda Ali Khan, 41, yang merupakan kakitangan Ketengah dan suaminya, Mohd Zuki Yusof, 44, maut di tempat kejadian selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dinaiki mereka bertembung dengan bas.

Anak mereka, Nasyreen Umayra Mohd Zuki, 10, pula meninggal ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Ketengah Jaya, kira-kira jam 6.20 petang pada hari yang sama.

Pada lawatan itu, Razali turut menyampaikan sumbangan sebuah tablet kepada Damia Irdina bagi memudahkan pelajar itu mengikuti sesi Penhajaran Dan Pembelajaran di rumah (PdPR).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Jun 2021 @ 8:51 PM