GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
BERNAMA

BAPA dan anak lelakinya maut selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan bas di Kilometer 22 Jalan Muar-Segamat di Tangkak, hari ini.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, dalam kemalangan 4.20 petang itu, mangsa Rahim Osman, 47, dan anaknya Muhammad Luqman Adam Rahim, 12, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Perodua Myvi dinaiki dua beranak itu dari arah Segamat menghala ke Muar terbabas lalu merempuh bas dari arah bertentangan.

“Pemandu bas itu yang dalam perjalanan ke Kuala Lumpur cuba mengelak namun tidak sempat lalu bertembung di laluan bas,” katanya ketika dihubungi di Tangkak, hari ini.

Beliau berkata, mayat kedua-dua mangsa yang beralamat di Taman Sri Kemendor, Jasin, Melaka dibawa ke Hospital Tangkak untuk bedah siasat.

Katanya pemandu dan lima penumpang bas berusia antara 50-an dan 60-an yang cedera turut menerima rawatan di hospital berkenaan, manakala 39 penumpang lain dilaporkan tidak cedera.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 Februari 2018 @ 11:56 PM