TIGA beranak yang menaiki Perodua Kancil maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 18, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Paya Kemudi,  Dyungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
TIGA beranak yang menaiki Perodua Kancil maut selepas terbabit kemalangan di Kilometer 18, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Paya Kemudi, Dyungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


TIGA beranak termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang terkorban dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Dungun-Bukit Besi, di Dungun, hari ini adalah warga Rohingya.

Mereka dikenali sebagai Khairul Bashar Nazir Ahmad, 31, yang juga pemandu Perodua Kancil; isterinya, Shofeka Mohd Isalam, 24, dan anak mereka, Mohamad Osama berusia satu tahun.

Selain itu, seorang lagi anak mereka, Omar Farok, 4, cedera ringan dan masih dirawat di Hospital Dungun.

Rakan mangsa, Abdul Syukur, 30, berkata, empat beranak yang tinggal di Kampung Binjai Rendah, Marang dalam perjalanan ke Kemaman untuk menghantar wang pinjaman kepada beberapa rakannya yang bekerja sebagai buruh kontrak di Kemaman.

“Dia (mangsa) bekerja sebagai buruh binaan. Malam tadi, saya jumpa dia dan mereka beritahu akan ke Kemaman hari ini selepas diarahkan majikan untuk menghantar duit pinjaman kepada rakannya yang bekerja di sana.

“Saya sangat terkejut apabila menerima panggilan daripada rakan memaklumkan empat beranak itu terbabit kemalangan itu pada 1 tengah hari,” katanya.

Seorang lagi rakan mangsa, Mohamad Yunus Montaz Husein, 24, berkata, mangsa sudah 10 tahun tinggal di Malaysia.

“Saya sudah satu tahun menumpang tinggal di rumahnya dan kali terakhir saya bertemu mereka petang semalam.

“Bagaimanapun, malam tadi, saya tidak pulang ke rumah dan tidur di rumah rakan dan dia (Khairul Bashar) tidak memaklumkan kepada saya yang dia mahu ke Kemaman,” katanya.

Mohamad Yunus berkata, dia yang pulang ke rumah pada 12 tengah hari ini mendapati pintu rumah berkunci sebelum menghubungi mangsa.

“Saya terkejut apabila mendapati panggilan saya dijawab anggota polis yang memaklumkan mereka sekeluarga terbabit dalam kemalangan.

“Saya segera menghubungi rakan lain sebelum ke Hospital Dungun untuk menuntut jenazah semua mangsa,” katanya.

Mohamad Yunus berkata, dia sudah menghubungi keluarga pasangan suami isteri itu di Myanmar memaklumkan kejadian itu dan mereka bersetuju supaya jenazah tiga beranak itu dikebumikan di sini.

Katanya, jenazah semua mangsa akan dibawa pulang ke Binjai Rendah, Marang dan akan dikebumikan di tanah perkuburan tidak jauh dari situ.

Dalam kemalangan 9.50 pagi hari ini, tiga mangsa maut apabila Perodua Kancil dinaiki bertembung dengan Proton Iswara Aeroback di Kilometer 18, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Paya Kemudi.

Berita berkaitan

'Tiga termasuk budak maut kemalangan [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 7:20 PM