ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18,  Jalan Dungun - Bukit Besi, dekat Kampung Paya Kemudi,  Dungun, hari ini. FOTO Rosli Iham.
ANGGOTA polis mengangkat mayat mangsa yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Dungun - Bukit Besi, dekat Kampung Paya Kemudi, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Iham.
Rosli Ilham


“SAYA akan besarkan dia seperti anak sendiri,” kata Sayed Hussein Rashid Ahmad, 29, yang berjanji akan menjaga cucu saudaranya, Omar Farok Khairul Bashar yang kini yatim piatu selepas ibu bapanya maut dalam kemalangan di Kilometer 18, Jalan Dungun-Bukit Besi, hari ini.

Omar Farok, 4, yang cedera di kepala dan kaki kini menerima rawatan di wad kanak-kanak Hospital Dungun.

Dalam kemalangan 9.50 pagi itu, Khairul Bashar Nazir Ahmad, 31, bersama isterinya, Shofeka Mohd Isalam, 24, serta anak bongsu mereka, Mohamad Osama berusia satu tahun maut selepas kereta Perodua Kancil dinaiki empat beranak itu bertembung dengan kereta lain.

Sayed Hussein berkata, keluarga malang itu bertolak dari Marang ke Kemaman pada 7.30 pagi.

“Dia (Khairul) ada maklum nak ke Kemaman, namun dia tidak memaklumkan tujuannya itu dan tiga jam selepas itu saya menerima khabar mereka terbabit dalam kemalangan.

“Saya ingat kemalangan kecil dan terkejut apabila rakan memaklumkan mereka terbunuh sebelum meminta kawan membawa saya ke Hospital Dungun,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di Unit Forensik Hospital Dungun, dia membuat pengecaman dan mengesahkan semua mayat itu adalah saudaranya.

Katanya, selepas itu dia ke wad menempatkan cucu saudara yang terselamat dalam kemalangan itu dan pada mulanya mahu merahsiakan kematian ahli keluarganya.

“Bagaimana ketika memeluk dia (Omar Farok), dia menyatakan sudah mengetahui kematian ayah, ibu serta adiknya itu.

“Dia beberapa kali merayu untuk melihat jenazah ibu, bapa dan adiknya itu, namun saya berjanji akan membawanya sebaik dibenarkan keluar dari wad.

“Saya sudah berbincang dengan isteri untuk menjaga Omar dengan sebaik mungkin sehingga dia besar sebagaimana anak kami sendiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, berdasarkan siasatan awal, pihaknya percaya kereta Proton Iswara Aeroback memasuki laluan kanan jalan sebelum merempuh kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa sekeluarga.

Beliau berkata, wanita yang kereta Proton Iswara Aeroback itu parah dan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut.

“Semua mangsa selesai dibedah siasat petang ini dan diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya.

Berita berkaitan

'Maut dalam perjalanan hantar wang'

'Tiga termasuk budak maut kemalangan [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 8:06 PM