WANITA Palestin menerima bantuan, ketika orang ramai mencari mangsa yang terkorban susulan serangan udara di Gaza. FOTO Reuters
WANITA Palestin menerima bantuan, ketika orang ramai mencari mangsa yang terkorban susulan serangan udara di Gaza. FOTO Reuters
Reuters

Gaza: Lambakan mayat memaksa penduduk Palestin di sini mengebumikan mayat yang tidak dikenali di kubur besar, dengan nombor bukannya nama, kata penduduk.

Kini, beberapa keluarga menggunakan gelang dengan harapan dapat mencari orang tersayang sekiranya mereka terkorban.

Keluarga El-Daba cuba meminimumkan risiko ditembak jatuh sewaktu pengeboman paling teruk Israel ke atas Gaza.

Ali El-Daba, 40, berkata, dia melihat mayat yang berkecai akibat dibom dan tidak dapat dikenal pasti.

Justeru, Ali memutuskan untuk berpisah dengan keluarganya bagi mengelakkan mereka semua mati dalam satu masa.

Katanya, isterinya Lina, 42, membawa dua anak lelaki dan dua anak perempuan mereka di utara Gaza dan dia berpindah ke Khan Younis di selatan bersama tiga lagi anak mereka.

Ali berkata, dia bersiap untuk berdepan situasi yang terburuk.

Dia membeli gelang tali biru untuk ahli keluarganya dan mengikatnya pada kedua-dua pergelangan tangan.

"Jika sesuatu berlaku, dengan cara ini (gelang) saya akan mengenali mereka," katanya.

Keluarga Palestin lain juga membeli atau membuat gelang untuk anak-anak mereka atau menulis nama mereka pada lengan mereka.

Pengebumian beramai-ramai dibenarkan oleh ulama Islam tempatan.

Sebelum dikebumikan, pasukan perubatan menyimpan gambar dan sampel darah si mati dan menandakan jenazah dengan nombor.

Israel melancarkan serangan udara di Gaza, selepas pejuang Hamas menyerang bandar-bandar Israel pada 7 Oktober lalu yang menyebabkan 1,400 individu terkorban dan dijadikan tebusan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 9:52 AM