Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Empat rakan termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki tanpa niat, enam tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Amizi, 40, dan adiknya Mohd Hafizol Berahim@Hassin, 35, bersama Abdul Hakim Alias, 35, serta Mohd Fauzi Ismail, 42; membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa secara bersama-sama menyebabkan kematian Mohammad Amir Mat Yim, 29, tanpa niat di Kampung Pengkalan Maras, Batu Rakit, Kuala Nerus pada 7 malam hingga 8 malam, 11 April 2015.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 304 (b) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak, manakala kesemua tertuduh diwakili peguam, Hayat Muhamad dan Ahmad Syahmi Amran.

Empat rakan termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki tanpa niat, enam tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI
Empat rakan termasuk dua beradik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki tanpa niat, enam tahun lalu. FOTO GHAZALI KORI

Mahkamah menetapkan 8 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula dan membenarkan mereka diikat jamin RM10,000 setiap seorang dengan dua orang penjamin.

Selain itu, mahkamah turut menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri dua kali setiap bulan di balai polis selain tidak dibenarkan mengganggu aaksi sepanjang prosiding berlangsung.

Media sebelum ini melaporkan lelaki maut selepas dibelasah penduduk kampung yang mendakwa mangsa adalah individu dikehendaki kerana mencuri lembu di Kampung Pengkalan Maras, Kuala Nerus.

Dalam kejadian itu, mangsa dibelasah teruk dan terpaksa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, untuk menerima rawatan kerana mengalami pendarahan teruk di kepala, patah tangan serta luka di pipi dipercayai dipukul menggunakan senjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 3:11 PM