Gambar hiasan
Gambar hiasan
Mohd Khidir Zakaria


Port Dickson: Dua wanita terpaksa berputih mata apabila wang simpanan mereka berjumlah hampir RM100,000 lesap selepas terpedaya dengan sindiket Macau Scam, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan daripada wanita berusia 26 dan 34 tahun, kelmarin, mendakwa ditipu individu menyamar sebagai pegawai Telekom Malaysia membabitkan kerugian RM96,298.

"Mangsa pertama seorang wanita berusia 34 tahun yang bekerja sebagai kerani jualan memaklumkan dihubungi individu terbabit kononnya berkaitan dengan penggunaan internet secara curi atas nama mangsa.

"Mangsa kedua yang juga wanita berusia 26 tahun yang bekerja sebagai pembantu akauntan pula diperdaya apabila dimaklumkan ada pendaftaran jalur lebar internet menggunakan butiran diri mangsa.

"Kedua-dua mangsa didapati menyerahkan butiran perbankan dalam talian dan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) kepada sindiket itu sebelum wang diambil tanpa pengetahuan mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah mempercayai panggilan yang memaklumkan mereka sebagai badan penguat kuasa atau institusi kewangan dan tidak mendedahkan butiran perbankan kepada pihak yang tidak dikenali.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Jun 2021 @ 4:50 PM