Gambar hiasan
Gambar hiasan
Nur Izzati Mohamad


SEORANG wanita warga emas di Kepala Batas kerugian RM90,000 selepas diperdaya sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai anggota polis, kelmarin.

Kejadian bermula apabila mangsa berusia 72 tahun itu menerima panggilan telefon daripada seorang individu kononnya sarjan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek mendakwa mangsa terbabit dalam kes pengubahan wang haram dan meminta memberi maklumat perbankan untuk siasatan.

Katanya, akibat takut mangsa memberikan nombor kad debit serta tiga digit nombor di bahagian belakang kad terbabit walaupun mengetahui dirinya tidak mempunyai kaitan dengan apa yang diperkatakan.

"Mangsa turut menyerahkan nombor Kod Pengesahan Transaksi (TAC) sebanyak lima kali kepada individu berkenaan.

"Selepas menyedari dirinya ditipu, mangsa menyemak baki akaun banknya berkurangan sebanyak RM90,000 dan tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut," katanya kepada media, hari ini.

Sementara itu, seorang kerani wanita turut mengalami kerugian wang RM5,492 selepas diperdaya sindiket pinjaman tidak wujud.

Noorzainy berkata, mangsa yang berusia 40-an tertarik dengan tawaran pinjaman mudah itu selepas melayari laman sosial Facebook baru-baru ini.

Katanya, mangsa yang ingin membuat pinjaman peribadi sebanyak RM30,000 menerima pesanan WhatsApp daripada individu yang kononnya kakitangan bank selepas meninggalkan nombor telefon di ruangan iklan laman terbabit.

"Mangsa diminta untuk melunaskan pelbagai bayaran termasuk insuran dan wang proses kemudiannya membuat tiga transaksi pembayaran melalui tiga akaun bank yang diminta.

"Mangsa yang mula curiga selepas diminta untuk membuat bayaran tambahan bertindak menghubungi pihak bank dan tampil membuat laporan polis," katanya.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Ogos 2020 @ 7:27 PM