Gambar hiasan
Gambar hiasan
Zuliaty Zulkiffli


Alor Setar: Seorang wanita yang bekerja sebagai pembantu tadbir amanah berusia 46 tahun kerugian RM125,498.25 selepas ditipu sindiket Macau Scam.

Ia selepas mangsa menerima panggilan daripada wanita mendakwa pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kedah, Superintendan Elias Omar berkata, ia adalah yang nilai kerugian tertinggi direkodkan setakat ini di negeri ini, tahun ini.

Beliau berkata, mangsa menerima panggilan daripada suspek yang mendakwa mangsa mempunyai tunggakan cukai sebanyak RM38,600.90.

"Mangsa dimaklumkan sekiranya tidak membuat pembayaran, semua akaunnya akan dibekukan dan tindakan undang-undang akan diambil.

"Mangsa pada mulanya menafikan perkara itu, namun suspek kemudian menyambungkan talian kepada 'polis'," katanya dalam satu kenyataan,

Elias berkata, selepas itu, mangsa dimaklumkan oleh 'polis' bahawa akaunnya terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram sebanyak RM2.28 juta.

Beliau berkata, mangsa kemudian menerima panggilan berkaitan perkara sama sehingga mangsa berasa takut dan membuat pinjaman dengan bank sebanyak RM120,000.

"Mangsa kemudian diminta oleh suspek supaya membuat kad ATM baharu serta meminta mangsa membatalkan perbankan online mangsa.

"Bagaimanapun akur dan mengikut seperti apa yang diarahkan suspek," katanya.

Menurut Elias, mangsa juga turut memberikan kata laluan pada pautan yang kononnya memaparkan Bank Negara Malaysia.

Beliau berkata, mangsa kemudian diarahkan untuk mengisi segala maklumat peribadi termasuk butiran kad ATM dan turut diugut supaya tidak mendedahkan sebarang maklumat siasatan.

"Semakan bank di Jitra, kemudian mendapati wang dalam akaun miliknya hilang sebanyak RM125,498.25 yang membabitkan 13 transaksi ke akaun pihak ketiga," katanya.

Elias berkata, berikutan itu, mangsa membuat laporan polis dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 January 2021 @ 9:34 AM