Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Harga minyak masak dalam botol lima kilogram (kg) masih kekal pada harga RM30 hingga RM33 berbanding sekitar RM25.90 hingga RM28 sebotol sebelum ini.

Peniaga kedai runcit, Muhammad Salim Dollah berkata, sebelum ini dia menjual minyak masak lima kg pada harga RM28.50 tetapi terpaksa dijual pada harga RM30 hari ini kerana pembekal meletakkan harga yang tinggi.

"Keuntungan yang diambil pun sangat sedikit memandangkan ramai terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Ketika ini juga pembelian minyak masak paket dihadkan kepada dua paket bagi seorang individu berikutan permintaan tinggi," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, peniaga kedai makan di AU3 Keramat, Zalida Syuhana Ahmad Tamam, 44, berkata bekalan minyak masak seperti 'emas' kerana sukar diperolehi terutama minyak masak paket sehingga dia terpaksa membeli minyak masak dalam botol.

Tinjauan di sebuah kedai runcit mendapati peniaga menjual minyak masak 5kg dengan RM30 manakala minyak paket, pelanggan hanya dibenarkan membeli 2 paket dengan harga RM2.50. FOTO FATHIL ASRI.
Tinjauan di sebuah kedai runcit mendapati peniaga menjual minyak masak 5kg dengan RM30 manakala minyak paket, pelanggan hanya dibenarkan membeli 2 paket dengan harga RM2.50. FOTO FATHIL ASRI.

"Saya terpaksa menunggu di pasar raya sejak awal pagi semata-mata untuk mendapatkan minyak masak paket kerana tidak mampu untuk membeli minyak masak dalam botol yang berharga sekali ganda," katanya.

Katanya, dia meminta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bertegas terhadap pembekal minyak masak yang menggenakan harga melampau.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Jun 2021 @ 5:56 PM