AINA Abdul buktikan kata-kata peminat seni benar dengan persembahan magis di DFP.
AINA Abdul buktikan kata-kata peminat seni benar dengan persembahan magis di DFP.
Najiy Jefri


BENARLAH bagai dikata, Aina Abdul ialah 'Superstar' Malaysia yang kian menyinar dalam industri seni tanah air.

Buktinya, persembahan penuh magis yang dibawakan selama dua jam pada konsert Aina Abdul Bersama Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) yang berlangsung di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) minggu lalu berjaya membuatkan peminat yang hadir terpukau dengan persembahan berbeza yang dibawakannya.

Malah, setiap lagu yang dibawakan berjaya diterjemahkan dengan penuh makna, lebih-lebih lagi semua lagu yang dimainkan diiringi muzik orkestra sekali gus memberi kepuasan maksimum bagi peminat Aina.

Diiringi 60 pemuzik orkestra, Aina atau nama sebenarnya Nurul Aina Abdul Ghani mempamerkan sisi berbeza dalam persembahannya apabila lebih menumpukan keindahan suaranya yang lunak merdu.

Lebih istimewa, Aina yang menjadi satu instrumen vokal berjaya melengkapkan instrumen lain yang membantu menghasilkan muzik terbaik dalam persembahannya.

Jika sebelum ini peminat sering disajikan dengan kelantangan vokalnya sewaktu beraksi di pentas, tapi kali ini Aina membawa penonton 'berkhayal' dengan keasyikan lagu lagu seperti Kejam, Bilang, Sesal, Sepi, Semalam, Kamu, Shadow, Puas Sudah dan Terus Hidup.

Mengakui persembahan di DFP adalah antara persembahan paling sukar buatnya, Aina bagaimanapun tidak putus semangat dan terus menggandakan usaha bagi memberikan persembahan terbaik.

"Bila saya buat latihan tempoh hari baru saya faham kenapa pentas ini begitu diidamkan oleh penyanyi dan mengapa ia sangat sukar berada di sini. Ini juga adalah persembahan yang paling ramai pernah saya menyanyi bersama.

"Pentas DFP adalah pentas yang dinantikan oleh semua penyanyi dan saya sangat bertuah dapat berada di sini, jadi bila diberikan peluang ini, ia adalah tanggungjawab saya untuk memberikan yang terbaik. Saya belajar menyanyi, inilah masanya saya mencurahkan semua ilmu yang saya belajar bertahun-tahun.

SESUAIKAN diri dengan gubahan simfoni yang disifatkan lebih lembut dan santai.
SESUAIKAN diri dengan gubahan simfoni yang disifatkan lebih lembut dan santai.

"Harap ada lagi ruang yang Tuhan nak bagi untuk saya berikan yang terbaik. Saya juga gembira dapat berdiri di sebelah Ahmad Muriz," katanya.

Konsert Aina Abdul Bersama MPO yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat lalu nyata mencatat satu sejarah baharu buat dirinya apatah lagi kelainan baharu yang dibawakan pada konsert kali ini.

Katanya, persembahan kali ini dia cuba untuk menyesuaikan diri dengan gubahan simfoni yang disifatkan lebih lembut dan santai.

"Itulah perbezaan konteks persembahan simfoni ini kerana pemuzik orkestra ini mempunyai dinamik dalam skor muzik mereka dan begitu juga saya.

"Saya cuba untuk menyesuaikan nyanyian dengan skor muzik mereka, lebih lembut dan santai. Jadi apabila saya mendengar muzik, saya cuba untuk selaraskan nyanyian kerana saya tidak mahu 'bergaduh' dengan muzik itu," katanya.

Membuka tirai dengan lagu yang sama dengan judul albumnya, Imaji, Aina tampil dengan busana yang diinspirasikan daripada 'disco ball' yang berwarna warni sentuhan pereka fesyen popular, Melinda Looi.

Aina seterusnya menyanyikan lagu Sumpah, yang menjadi detik perkenalan dirinya kepada orang ramai dan juga lagu yang mencetuskan penubuhan kelab peminatnya, Aination.

TAMPIL dengan busana yang diinspirasikan daripada ‘disco ball’.
TAMPIL dengan busana yang diinspirasikan daripada ‘disco ball’.

Aina kemudiannya susuli dengan persembahan lagu Kejam, Kelip-Kelip, Bilang, Sesal dan Sepi sebelum menutup tirai untuk sesi pertama.

Sesi kedua diteruskan dengan lagu Semalam, Shadow, Fool, Kamu, Puas Sudah, Terus Hidup serta lagu permintaan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO) sendiri iaitu Dawai.

Turut hadir memberi sokongan pada hari pertama konsert itu adalah pasangan adik beradik penyanyi popular iaitu Anuar Zain dan Ziana Zain.

Konsert itu diakhiri dengan persembahan lagu medley At Last, You Make Me Feel, Hero, When You Believe, I Surrender dan Listen yang ditujukan khas buat barisan penyanyi diva yang sangat dihormati Aina seperti Mariah Carey, Whitney Houston dan Celine Dion.

Aina berkata, lagu barisan penyanyi itu adalah antara lagu yang sering dinyanyikan ketika dia bekerja di kelab malam suatu ketika dulu.

Aina yang tampil dengan dua busana semalam turut tidak ketinggalan menyanyikan lagu wajibnya, Jangan Mati Rasa Itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 6:20 AM