Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Kerajaan akan mewartakan harga siling minyak masak sawit dalam botol termasuk botol lima kilogram (kg) sebagai langkah menangani isu kenaikan harga bahan masakan itu supaya tidak membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, mekanisma terperinci pewartaan harga maksimum termasuk minyak masak sawit tulen dalam botol 5kg pada harga RM30 sebotol itu akan diumumkan Menterinya, Datuk Alexander Nanta Linggi dalam masa terdekat.

Beliau berkata, keputusan menetapkan harga minyak masak botol 5kg tidak melebihi RM30 sebotol itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini sebagai langkah menangani isu kenaikan harga minyak masak dalam botol yang pernah mencecah sehingga RM34 sebotol.

"Kerajaan secara dasarnya bersetuju untuk harga minyak masak sawit tulen dalam botol 5kg ditetapkan tidak melebihi RM30 sebotol, namun ia belum diwartakan lagi dan dijangka akan diwartakan dalam masa terdekat.

FOTO BERNAMA
FOTO BERNAMA

"Apabila diwartakan kelak, isu kenaikan harga minyak masak ini tidak timbul lagi dan semua peniaga perlu mematuhi kadar maksimum harga jualan runcit ditetapkan bagi bahan masakan itu," katanya ketika menyampaikan Bakul Makanan Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) sempena Aidiladha di Dataran Balai Raya Kampung Banggol Manir, di sini, hari ini.

Rosol berkata, berdasarkan pemantauan dan laporan diterima daripada Penyelaras Kepenggunaan Parlimen (PKP), harga minyak masak botol 5kg berada di bawah RM30 dengan harga jualan paling tinggi direkodkan setakat ini ialah RM29.50.

Muhyiddin sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan program Harga Kawalan berasaskan nilai ambang minyak sawit mentah atau Crude Palm Oil.

Beliau berkata, ia adalah langkah kerajaan untuk menangani isu kenaikan harga minyak masak botol satu hingga lima kg dan dengan itu, harga minyak masak botol 5kg dapat dikawal supaya tidak melebihi RM30 sebotol.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Julai 2021 @ 5:29 PM