PENDUDUK menguruskan ribuan mayat.
PENDUDUK menguruskan ribuan mayat.
Mohd Jamilul Anbia Md Denin


Kuala Lumpur: "Ribuan kubur tanpa nisan ada di sini (Gaza) dan jumlahnya semakin bertambah setiap hari. Mayat mangsa dibunuh tentera Zionis berselerakan dan kebanyakannya masih tersepit atau tertimbus hidup-hidup di bawah runtuhan kediaman," ujar Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) di Palestin, Ahmed Abu Ayesh Al-Najjar.

Menurutnya, serangan bertalu-talu tentera Israel melalui udara, darat dan laut ke bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza setiap hari, meningkatkan angka korban.

"Tentera Israel menyasarkan roket dan bom ke kawasan kediaman dan penempatan pelarian tanpa ada rasa belas kasihan.

"Beratus rumah dan sebuah bangunan sekolah yang menempatkan pelarian di kejiranan Al-Zaytoun, tenggara Kota Gaza, dan Kem Jabalia dan Nuseirat di utara Semenanjung Gaza turut diletupkan. Penduduk Palestin di Gaza tidak ubah seperti 'anak ayam' yang terpaksa berlari ke sana sini untuk menyelamatkan nyawa dan keluarga.

"Lebih 500,000 penduduk Palestin kini terpaksa meninggalkan bandar Rafah di selatan Gaza sejak seminggu bagi mengelak dijadikan sasaran pembunuhan gerombolan tentera dan kereta kebal Israel," katanya.

Menurutnya, puluhan kereta kebal Israel dilihat memasuki beberapa kawasan perumahan di sempadan selatan Gaza iaitu lokasi menempatkan lebih sejuta pelarian Palestin berlindung.

Menurutnya, pembunuhan demi pembunuhan kejam berlaku setiap hari tanpa henti mengakibatkan lebih 35,000 rakyat Palestin terkorban sejak serangan Zionis bermula Oktober tahun lalu.

"Ketika ini beratus mangsa masih terperangkap dalam runtuhan kediaman susulan serangan terbaharu oleh tentera Israel.

"Amat menyayat hati apabila kebanyakan mangsa ini adalah kanak-kanak tidak berdosa. Ada mayat mereka berjaya ditarik keluar dari bawah runtuhan manakala sebahagian besar lagi gagal ditemui.

"Keadaan mayat amat menyayat hati dengan keadaan tubuh tidak sempurna, terbakar selain hancur. Biarpun ada yang berjaya diselamatkan namun peluang untuk hidup amat pudar," katanya.

Dia berkata, selain berdepan risiko kehilangan nyawa akibat serangan tentera Zionis, penduduk Gaza turut diancam krisis kebuluran dahsyat.

"Treler membawa bantuan melalui sempadan Rafah, Mesir sukar untuk memasuki Gaza berikutan tentera Israel sudah mengepung dan menguasai lokasi berkenaan.

"Operasi ketenteraan Israel turut mengganggu pengagihan bantuan kemanusiaan di Gaza sekaligus menyukarkan kami untuk bertahan lebih lama lagi," katanya.

Menurutnya, tentera Israel diyakini akan meneruskan misi menyerang Rafah yang menjadi benteng terakhir penduduk Palestin berlindung.

"'Saya tidak mampu tidur memikirkan nasib penduduk Gaza. Maut seolah-olah menanti pada bila-bila masa. Hanya pada Allah SWT kami berdoa," katanya.

Beliau turut meluahkan rasa sedih susulan penemuan 80 mayat dalam tiga kubur besar di perkarangan Kompleks Perubatan Al-Shifa di Bandar Gaza.

BANGUNAN dan rumah penduduk musnah dibedil roket serta bom tentera Zionis.
BANGUNAN dan rumah penduduk musnah dibedil roket serta bom tentera Zionis.

Jumlah itu menambah kepada penemuan kubur besar sejak tentera Israel menarik diri dari kompleks itu, dua bulan lalu.

"Penemuan mayat itu membuktikan kekejaman Israel yang membunuh rakyat Palestin di hospital itu beramai-ramai. Setakat ini, lebih 520 mayat ditemui di tujuh kubur besar di hospital di seluruh Semenanjung Gaza.

"Kubur berkenaan ditemui sejak beberapa bulan lalu selepas pengunduran tentera Israel dari Kompleks Perubatan Al-Shifa, Kompleks Perubatan Nasser, Hospital Kamal Adwan, dan lain-lain.

"Difahamkan majoriti mangsa dibunuh ini adalah pesakit yang tidak mendapat rawatan perubatan."

"Malah ada mayat ditemui ini dipercayai digilis kenderaan tentera Israel susulan penemuan kepala tanpa badan di dalam kubur besar di perkarangan Kompleks Shifa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 Mei 2024 @ 7:01 AM