SEORANG pengguna sedang meneliti harga minyak masak yang kini melonjak naik. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
SEORANG pengguna sedang meneliti harga minyak masak yang kini melonjak naik. FOTO HAZIRA AHMAD ZAIDI
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Kenaikan harga minyak masak botol lima kilogram (kg) selain kekurangan bekalan minyak paket bersubsidi secara tidak langsung memberi kesan serta membebankan orang ramai.

Tinjauan di beberapa pasar raya, pasar mini, dan kedai runcit di sekitar Kota Bharu mendapati harga minyak masak botol lima kg naik sehingga RM7 sebotol berbanding harga sebelum ini iaitu antara RM25 hingga RM33 bergantung kepada jenama.

Pada masa sama, tinjauan di kedai runcit pula mendapati kebanyakan peniaga mengalami masalah kekurangan bekalan minyak masak paket sejak lebih sebulan lalu menyebabkan pengguna tidak mempunyai pilihan dan terpaksa membeli minyak masak botol walaupun harganya agak mahal.

Bagi peniaga makanan, Siti Nuraisyah Ibrahim, 32, berkata, sejak dari dahulu lagi minyak masak dalam botol menjadi pilihannya disebabkan penggunaannya lebih tahan lama selain kualiti juga lebih bagus berbanding minyak masak di dalam paket.

"Bagaimanapun sejak seminggu lalu selepas kerajaan melaksanakan sekatan pergerakan penuh (SPP) bagi mengekang penularan pandemik Covid-19 saya mendapati minyak masak botol lima kilogram sudah naik harga.

"Sebelum ini harga minyak masak itu adalah antara RM25 hingga RM27, namun tidak sampai sebulan minyak masak berkenaan naik secara drastik sehingga mencecah harga RM33.

"Harga barang keperluan terutama minyak masak yang melonjak naik sangat membebankan pengguna apatah kepada mereka yang mengusahakan perniagaan menjual makanan demi kelangsungan hidup," katanya ketika ditemui di KB Mall, di sini, hari ini.

Sementara itu, seorang suri rumah, Siti Zawinah Zainal Abidin, 56, berkata, sebelum ini, harga minyak masak dalam botol dianggarkan antara RM20 hingga RM30 mengikut jenama.

"Bagaimanapun, saya sangat terkejut dengan kenaikan mendadak harga minyak masak botol lima kg berbanding sebelum ini dan dalam masa sama penggunaan minyak masak pada setiap bulan juga bertambah disebabkan mempunyai anak ramai dan setiap hari perlu memasak untuk mereka.

"Saya rasa harga minyak masak ini mula naik sejak beberapa minggu lalu kerana sebelum ini saya ada membeli minyak masak pada harga RM26, namun hari ini ia dijual pada harga RM30.50," katanya.

Sementara itu, peniaga kedai runcit, Mohd Afiq Hussin, 30, berkata, dia masih menjual minyak masak dalam botol lima kg mengikut harga lama namun bekalannya kini sudah tidak banyak hanya ada dua tiga jenama sahaja.

"Bekalan minyak masak botol di kedai ini adalah bekalan lama dan sebab itu saya masih jual pada harga lama yang saya ambil daripada pemborong.

"Walau bagaimanapun, minyak masak bersubsidi di dalam paket menjadi pilihan utama pengguna, namun sejak lebih sebulan lalu minyak masak jenis ini terputus bekalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 1:48 PM