LIMA individu dikenakan tindakan kompaun di Batu Feringghi di sini. FOTO ihsan PDRM
LIMA individu dikenakan tindakan kompaun di Batu Feringghi di sini. FOTO ihsan PDRM
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Berkumpul sambil meminum minuman keras di sebuah hotel di Batu Feringghi, di sini, menyebabkan lima individu masing-masing dikompaun RM4,000, semalam.

Difahamkan, mereka terdiri empat lelaki dan seorang wanita berusia 20 hingga 63 tahun turut mempunyai pertalian saudara.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, dalam kejadian 5.20 petang, mereka ditahan ketika operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di kawasan itu.

"Siasatan mendapati seorang daripada lelaki itu datang dari Kuala Lumpur ke Pulau Pinang atas urusan kerja.

"Manakala saudara mara lelaki berkenaan pula berkumpul dan minum di hotel yang menjadi tempat penginapan lelaki terbabit," katanya ketika dihubungi. hari ini.

Menurutnya, semakan ke atas empat ahli keluarga yang lain mendapati masing-masing tinggal di dalam daerah Timur Laut.

Katanya, tindakan diambil mengikut Peraturan 10 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dan Peraturan 17(1) peraturan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Jun 2021 @ 1:49 PM