Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Aliran trafik masuk ke negeri ini meningkat 38 peratus sejak semalam susulan orang ramai mengambil peluang sempena kebenaran rentas negeri.

Timbalan Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Fisol Salleh berkata, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) orang awam di negeri ini juga berada dalam keadaan memuaskan.

"Aliran trafik meningkat sebanyak 38 peratus berbanding di pantai timur misalnya, mungkin orang ramai mengambil kesempatan bagi pulang ke kampung.

"Bagaimanapun aliran trafik menghala ke utara selepas Pulau Pinang memang sedikit sesak," katanya kepada media ketika membuat pemantauan menerusi Program 'Outreach Covid-19' di pesisir pantai Batu Feringghi di sini, hari ini.

Hadir hadir sama ialah Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong.

TINJAUAN aliran trafik yang bergerak lancar walaupun berlaku peningkatan kenderaan dirakamkan jam 9 pagi. FOTO Danial Saad
TINJAUAN aliran trafik yang bergerak lancar walaupun berlaku peningkatan kenderaan dirakamkan jam 9 pagi. FOTO Danial Saad

Pada program itu, polis turut meninjau di beberapa lokasi tumpuan seperti restoran nasi kandar, kawasan pantai dan hotel.

Mengulas lanjut Fisol berkata, selaras dengan jangkaan kedatangan pelancong ke negeri ini, polis terus menjalankan pemantauan dan pemeriksaan pematuhan SOP di lokasi tumpuan.

Pihaknya turut bersiap siaga dalam menghadapi kes jenayah dan kemalangan apabila kelonggaran dan beberapa sektor dibuka.

"Menerusi penguatkuasaan trafik juga sebanyak 357 saman dan sitaan motosikal dikeluarkan semalam bagi memastikan orang ramai mematuhi undang-undang jalan raya.

"Diikuti dengan sebanyak lapan kompaun dikeluarkan kepada pelanggan yang makan di premis (dine-in) tanpa dos lengkap dan pemilik premis yang membenarkan pelanggan tanpa dos lengkap masuk ke restoran.

"Menerusi pemantauan, difahamkan kebanyakan hotel turut mengambil langkah dengan hanya menerima sebanyak 50 hingga 70 tempahan bilik bagi mengelak kesesakan," katanya lagi.

Tinjauan Harian Metro mendapati aliran trafik di sekitar bandar raya dan kawasan pantai antara Batu Feringghi bergerak perlahan.

Sementara itu pengusaha dan operator jet ski Mohd Izahari Darus, 45, berkata, kawasan pantai Batu Feringghi seakan hidup semula selepas sekian lama tidak menerima kunjungan pelawat.

Katanya, selepas dibenarkan beroperasi semula sejak 1 Oktober lalu, permintaan terhadap sewaan jet ski meningkat sepanjang minggu ini.

"Dengan situasi ini dapatlah penduduk tempatan menjana semula pendapatan selepas sekian lama terkesan akibat pandemik Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 4:22 PM