Shuhaily Mohd Zain (kiri) melakukan pemeriksaan aplikasi MySejahtera pekerja premis makanan. FOTO DANIAL SAAD
Shuhaily Mohd Zain (kiri) melakukan pemeriksaan aplikasi MySejahtera pekerja premis makanan. FOTO DANIAL SAAD
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Sebanyak empat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) terbabit dalam urusan vaksinasi secara 'walk-in' kepada warga asing di Pulau Pinang, bermula esok, akan menggunakan sistem penggiliran nombor.

Kaedah itu bagi mengelakkan kesesakan ketika proses pemberian vaksin di PPV terbabit.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, setakat ini program pemberian vaksin di PPV di Pulau Pinang berlangsung dalam keadaan teratur dan dijangka tidak ada masalah bagi pengunjung yang walk-in.

"Seperti inisiatif walk-in kepada warga tempatan sebelum ini, kita akan gunakan sistem penggiliran apabila 500 nombor diberi dan mereka akan diarah pulang jika jumlah hadir melebihi angka itu.

"Namun, polis akan terus melakukan pemantauan di lokasi bagi mengelakkan sebarang kemungkinan dan tindakan penguatkuasaan akan diambil jika masih ada pihak gagal mematuhi peraturan ditetapkan," katanya kepada media, hari ini.

Mohd Shuhaily bersama Ketua Polis Daerah Timur Laut, Soffian Santong melakukan tinjauan pematuhan SOP di pusat beli-belah di Persiaran Gurney; Pantai Shamrock dan Pantai Miami di Jalan Batu Feringghi, di sini.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, empat PPV dipilih bagi pelaksanaan pemberian vaksin secara 'walk-in' kepada warga asing di negeri ini bermula esok (Jumaat).

Ia adalah Pusat Konvensyen Setia SPICE; Dewan Milenium; SP Arena dan Dewan Serbanguna Sungai Bakap dengan waktu operasi bagi warga asing bermula pada 2 petang setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 8:53 PM