POLIS mengeluarkan kompaun di restoran kerana pelanggan dan pemilik melanggar SOP. FOTO ihsan Polis
POLIS mengeluarkan kompaun di restoran kerana pelanggan dan pemilik melanggar SOP. FOTO ihsan Polis
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Polis mengeluarkan kompaun berjumlah RM22,000 kepada kepada tujuh individu termasuk pemilik restoran di Jalan Magazine di sini, malam tadi kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Kompaun itu dikeluarkan terhadap enam pelanggan atas kesalahan makan di di restoran tanpa lengkap dua dos vaksin Covid-19.

Manakala pemilik turut dikompaun kerana membenarkan pelanggan yang belum lengkap dua dos vaksin makan di restoran itu.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, kompaun itu keluarkan ketika polis menjalankan pemeriksaan menerusi Op Pemantauan dan Pematuhan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 10.50 malam.

Katanya dua wanita dan lima lelaki berusia 23 hingga 37 tahun dikenakan kompaun itu.

"Pemeriksaan menerusi aplikasi MySejahtera ke atas pelanggan yang 'dine-in' di restoran berkenaan mendapati enam daripada mereka belum lengkap dua dos vaksin.

"Pelanggan itu masing-masing dikenakan kompaun sebanyak RM2,000 manakala pemilik premis pula RM10,000 kerana membenarkan pelanggan 'dine-in' walaupun belum lengkap divaksinasi," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Soffian lagi, keseluruhan kompaun yang dikeluarkan berjumlah RM22,000 mengikut Peraturan 16(1) Kawalan Pergerakan Penyakit Berjangkit dan hukuman mengikut Peraturan 17(1) peraturan yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Oktober 2021 @ 10:54 AM