Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar melawat beberapa rumah yang dilanda ribut di Blok P Sawah Sempadan dan Kampung Sungai Yu, kelmarin. FOTO IHSAN NOH OMAR
Ahli Parlimen Tanjong Karang Tan Sri Noh Omar melawat beberapa rumah yang dilanda ribut di Blok P Sawah Sempadan dan Kampung Sungai Yu, kelmarin. FOTO IHSAN NOH OMAR
Amirul Aiman Hamsuddin


Tanjong Karang: "Alhamdulillah. Tidak sangka rumah kami yang musnah terbakar akan dibina semula. Inilah hadiah bermakna menjelang Aidiladha ini," ujar mangsa kebakaran, Salmiah Hassan, 60.

Terdahulu, pada kejadian 1 petang, 10 Jun lalu, kediaman Salmiah di Lorong Mat Rojak, Jalan Bernam, Batu 9 1/2, di sini, yang dihuni bersama suami, Hasim Yaacob, 69, dan 11 anak serta cucu musnah terbakar.

Kebakaran itu juga memusnahkan kelengkapan bayi anak bongsunya, Siti Nur Haziqah Hasim, 22, yang dibeli bersama suami, Mohd Alif Samsul Baharin, 22, sehari sebelum kejadian.

Ketika kebakaran berlaku, Salmiah menerima suntikan vaksin Covid-19 di Gombak, Selangor manakala Hasim pula membeli barang di Pekan Tanjong Karang

Salmiah berkata, sumbangan rumah hasil bantuan PUNB bernilai RM 35,000 itu disifatkan sebagai hadiah yang bermakna menjelang Aidiladha ini.

"Kami gembira rumah itu akan dibina tidak lama lagi. Terima kasih diucapkan kepada Pengerusi PUNB (Tan Sri Noh Omar) di atas keprihatinan membantu menyediakan pembinaan rumah baharu.

"Jasa dan budi baik beliau akan kami kenang selamanya. Beliau tidak putus memberikan pelbagai sumbangan dan kerap menziarahi kami selepas ditimpa musibah," katanya tadi.

Sementara itu, Noh berkata, beliau sudah menyerahkan surat tawaran membina rumah di bawah Program Bina Semula Rumah PUNB.

"Saya berharap keluarga ini dapat tinggal di rumah lebih selesa bagi menggantikan rumah yang terbabit dalam kebakaran," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Julai 2021 @ 5:35 PM