Amirul Aiman Hamsuddin

Tanjong Karang: "Tinggal dua hari sahaja lagi nak meraikan hari bahagia anak. Tidak sangka semuanya hangus dalam sekelip mata," kata Marni Selamat selepas kediamannya di Lorong Intan B, Kampung Parit Serong, di sini, musnah dalam kebakaran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi, semua kelengkapan termasuk busana pengantin anak perempuan bongsu pasangan suami isteri itu, Nurulhuda, 24, yang bakal melangsungkan pernikahan Sabtu ini dijilat api di lokasi kejadian, selain motosikal Yamaha Y15.

Marni, 77, berkata, sebelum kejadian dia dan isteri, Martiah Jabar, 72, pergi ke sawah padi untuk mengambil serai bagi persiapan majlis.

"Sampai di rumah saya buat sedikit lagi kerja sebelum berehat di bahagian bawah rumah, manakala isteri bersama rakan-rakan pula memasak.

"Semua orang sibuk melakukan kerja masing-masing termasuk ada yang memasang khemah. Kemudian, isteri terdengar bunyi seakan letupan di tingkat atas rumah.

"Kebetulan isteri memanggil cucu lelaki kami berusia 17 tahun untuk melihat apa yang berlaku. Belum sempat naik dia menjerit ada api," katanya ketika ditemui pada lawatan Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Datuk Sulaiman Abdul Razak, hari ini.

Datuk Sulaiman Abdul Razak bersama mangsa kebakaran, Marni Selamat ketika ditemui di Kampung Parit Serong, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN
Datuk Sulaiman Abdul Razak bersama mangsa kebakaran, Marni Selamat ketika ditemui di Kampung Parit Serong, hari ini. FOTO AMIRUL AIMAN HAMSUDDIN

Terdahulu, Sulaiman meluangkan masa selama kira-kira satu jam menziarahi Marni sekeluarga.

Marni berkata, mereka berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran itu tetapi tidak sempat mengeluarkan kesemua barang di dalam rumah.

"Jumlah kerugian termasuk persiapan perkahwinan mencecah kira-kira RM 160,000. Kami sekeluarga reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi.

"Majlis nikah tetap diteruskan di Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) Kuala Selangor jam 2.30 petang Jumaat ini," katanya.

Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau melahirkan rasa simpati dengan Marni sekeluarga yang terkesan akibat kebakaran itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2023 @ 6:27 PM