Rosli Ilham


LELAKI pengsan sebaik menyaksikan rumahnya di Jalan Bunga Raya di Dungun, musnah dalam kebakaran tengah malam tadi.

Dalam kejadian 12.30 tengah malam itu, mangsa juga cuba untuk memasuki rumahnya bagi menyelamatkan wang simpanan RM1,000, namun dihalang bomba.

Ahmad Ihsan Osman @Salim, 43, berkata, dia tinggal bersendirian di rumah milik peninggalan arwah ibu bapanya itu.

Katanya, ketika kejadian, dia keluar kira-kira 9 malam bertemu rakannya di Kampung Tanah Lot, Kuala Dungun.

Menurutnya, pada 12.40 tengah malam, dia menerima panggilan daripada jirannya yang memaklumkan rumahnya itu terbakar.

KEADAAN rumah mangsa. (Gambar kecil) Ahmad Ihsan ditenangkan oleh ibu saudaranya. FOTO Rosli Ilham
KEADAAN rumah mangsa. (Gambar kecil) Ahmad Ihsan ditenangkan oleh ibu saudaranya. FOTO Rosli Ilham

“Saya segera pulang ke rumah dan sangat sedih apabila mendapati hampir keseluruhan rumah sudah terbakar. Ketika itu, saya teringat duit simpanan RM1,000 yang saya letak di dalam beg pakaian di ruang tamu.

“Saya nekad untuk meredah api mengambilnya, namun dihalang bomba yang bimbang keselamatan saya,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ahmad Ihsan berkata, dia tinggal di rumah itu hanya pada waktu siang dan pada waktu malam, menemani neneknya yang tinggal tidak jauh dari situ.

“Saya tak tahu macam mana rumah itu boleh terbakar. Mustahil akibat litar pintas kerana sudah lama saya memotong bekalan elektrik dan air.

“Itu sahaja wang yang saya ada... saya sangat sedih gagal menyelamatkan wang itu dan harta benda lain, namun saya kena reda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba Dan Penyelamat Dungun, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya, 1.45 pagi.

“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan, “katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Februari 2020 @ 10:01 AM