KEADAAN motosikal mangsa yang hanya tinggal kerangka selepas dibakar majikannya. FOTO ihsan polis
KEADAAN motosikal mangsa yang hanya tinggal kerangka selepas dibakar majikannya. FOTO ihsan polis
Nur Izzati Mohamad


Tasek Gelugor: Polis menahan pemilik kilang memproses ayam, di sini, kerana dipercayai membakar motosikal pekerjanya, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, suspek berusia 40 tahun itu ditahan di kawasan Tasek Gelugor, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari semalam.

Menurutnya, penahanan dibuat susulan polis menerima laporan daripada mangsa yang juga pekerja kilang memproses ayam itu mendakwa motosikal yang ditinggalkan di tempat kerja hanya tinggal kerangka dipercayai dibakar majikannya.

"Mangsa berusia 35 tahun tampil membuat laporan polis pagi kelmarin memberitahu bahawa dalam kejadian kira-kira jam 6 petang Selasa lalu, dia mendapati motosikal musnah.

"Dia mengesyaki motosikalnya itu dibakar majikan berikutan berlaku perselisihan faham di antara mereka sehari sebelum kejadian tambahan pula mangsa memperoleh gambar motosikalnya dalam keadaan terbakar yang dihantar majikannya melalui telefon bimbit," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, mangsa memaklumkan bahawa dia sudah seminggu meninggalkan motosikalnya di kilang terbabit kerana berlaku kerosakan kecil.

Noorzainy berkata, melalui laporan itu, polis membuat tangkapan ke atas suspek dan merampas pelbagai barangan antaranya telefon bimbit, cebisan kain berwarna coklat yang terdapat kesan terbakar, pemetik api, dan sekeping papan nombor pendaftaran motosikal yang dibakar untuk tindakan lanjut.

"Hasil siasatan mendapati punca kejadian adalah kerana suspek tidak puas hati terhadap pekerjanya yang menggunakan keretanya untuk bertemu rakan sehingga kehabisan minyak kemudian ditinggalkan di tepi jalan.

"Suspek dan mangsa keesokannya pergi semula ke lokasi kereta ditinggalkan namun selepas diisi minyak, kenderaan itu tidak boleh bergerak berikutan berlaku kerosakan.

"Akibat daripada itu, suspek marah dan tidak berpuas hati lalu membakar motosikal pekerjanya yang kejadian itu disaksikan ibu serta jiran suspek yang cuba menghalangnya, namun tidak dihiraukan bahkan suspek mengambil gambar motosikal dalam keadaan terbakar dan menghantar kepada pekerjanya itu," katanya.

Noorzainy berkata, ujian saringan air kencing mendapati suspek bebas daripada penyalahgunaan dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

Kes disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 12:16 PM