GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Nur Izzati Mohamad


POLIS menahan tiga lelaki termasuk seorang pemilik akaun laman sosial Facebook yang bertindak menularkan berita tidak tepat mengenai kemalangan di Jalan Ara Kuda, di Tasek Gelugor, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, ketiga-tiga lelaki itu ditahan dalam serbuan berasingan, semalam.

Menurutnya, polis membuat tangkapan selepas mengenal pasti pemilik akaun Facebook berusia 33 tahun dan merampas telefon bimbit miliknya yang dipercayai digunakan untuk memuat naik maklumat berkenaan.

"Ketika disoal siasat, suspek mengaku memuat naik maklumat maklumat berkenaan di akaun Facebook miliknya tanpa memeriksa fakta daripada pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noorzainy berkata, selepas itu, polis membuat tangkapan terhadap dua lelaki iaitu abang kepada pasangan kembar yang terbabit kemalangan berusia 19 dan 29 tahun.

"Tangkapan dibuat kerana ketika di lokasi kejadian mereka cuba bertindak agresif dan tidak berpuas hati serta turut memberi komen negatif di Facebook.

"Salah seorang daripada suspek ini juga ada merakam kejadian bakar kenderaan terbabit, namun kedua-duanya masih enggan bekerjasama untuk memberi maklumat berkaitan pelaku yang membakar kereta terbabit," katanya.

Dalam kejadian Jumaat lalu, kereta milik seorang wanita berusia 56 tahun dibakar kerana disangka dia memandu dalam keadaan mabuk.

Ia menyebabkan pasangan beradik kembar parah selepas dua motosikal yang dinaiki mereka bertembung dengan kenderaan peniaga sayur itu.

Bagaimanapun, ujian saringan awal pernafasan yang dijalankan ke atas wanita itu mendapati dia memandu tanpa pengaruh alkohol.

Sebaliknya, kejadian itu berlaku ekoran dia mahu mengelak haiwan yang tiba-tiba melintas di hadapannya.

Insiden bertambah kusut apabila ada pihak yang menularkan berita dengan fakta tidak tepat hingga mencetuskan kemarahan warganet serta menimbulkan isu perkauman.

Noorzainy berkata, suspek pertamaakan disiasat mengikut Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 manakala dua lagi suspek akan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Jun 2020 @ 8:39 AM