LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Noor Atiqah Sulaiman


Putrajaya: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sudah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyiasat program realiti realiti nyanyian, All Together Now Malaysia sama ada terdapat pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) semasa proses rakaman berlangsung.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, siasatan perlu dibuat kerana ia tidak boleh hanya dilihat melalui sedutan di kaca televisyen semata-mata.

"Saya difahamkan, rakaman untuk program berkenaan dibuat sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan ia sudah mendapat kelulusan serta kebenaran untuk rakaman daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

"Dari segi kelulusan, mereka memang dapat kebenaran. Cuma kita minta SKMM untuk buat siasatan lebih terperinci di sebalik proses rakaman itu berlangsung sama ada mereka ada langgar SOP atau pun tidak.

"Kita kira siasatan ini tidak mengambil masa yang lama," katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tindakan yang diambil untuk menangguhkan tayangan program realiti itu adalah satu tindakan yang baik terutamanya ketika situasi sekarang.

"Lebih baik ia ditangguhkan sehingga semua siasatan selesai dilakukan," katanya.

Sebelum ini, program realiti itu mula diperkatakan kerana didakwa melanggar SOP selepas tayangan pertamanya pada Ahad lalu.

Ini kerana, menerusi program berkenaan terdapat 50 juri yang tidak memakai pelitup muka selain tiada penjarakan fizikal.

Berita berkaitan:

  • Tayangan All Together Now Malaysia dihentikan seketika...
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Jun 2021 @ 4:51 PM