50 juri All Together Now Malaysia (ATNM) sudah memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan dakwaan melanggar SOP PKP.
50 juri All Together Now Malaysia (ATNM) sudah memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan dakwaan melanggar SOP PKP.
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 50 juri program televisyen, All Together Now Malaysia (ATNM) sudah memberi keterangan kepada polis bagi membantu siasatan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, selain juri, turut diambil keterangan adalah 25 peserta program dan pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Siasatan mula dijalankan sebaik menerima laporan pertama yang dibuat di Iskandar Puteri, Johor pada 8 Jun lalu sebelum diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya.

"Setakat ini, kesemua 50 juri dan 25 peserta sudah beri keterangan. Kita juga rakam keterangan ketua dan pegawai penguat kuasa KKM untuk pengesahan wujud atau tidak kesalahan berdasarkan bukti yang ada," katanya kepada pemberita malam ini.

Beliau berkata, siasatan lanjut berkaitan perkara itu masih dijalankan.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan polis akan memanggil semua pihak yang terbabit dalam penerbitan program televisyen, All Together Now Malaysia termasuk 50 juri bagi membantu siasatan.

Ini berikutan polis menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan mendakwa program terbabit melanggar SOP PKP, pada 5.55 petang, 8 Jun lalu.

Malah, Majlis Keselamatan Negara turut dilapor mengarahkan supaya siasatan dibuat ke atas program hiburan syarikat televisyen swasta itu susulan dakwaan pelanggaran SOP.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Jun 2021 @ 9:37 PM