SHERRY Al Hadad pengacara ATNMY.
SHERRY Al Hadad pengacara ATNMY.
Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Selepas dihentikan seketika tidak lama dulu, program nyanyian All Together Now Malaysia (ATNMY) akan kembali bersiaran bermula Sabtu ini, jam 10 malam menerusi episod istimewa.

Selain itu, konsert mingguan pula akan dimulakan Ahad ini, jam 9 malam yang bersiaran selama 10 minggu.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad bersyukur program itu dapat disambung siaran selepas lama dinantikan ramai.

"Alhamdulillah, kini semuanya sudah selesai dan kami ingin merakamkan jutaan terima kasih atas kerjasama diberikan semua pihak terbabit.

"Justeru, keutamaan kami adalah untuk bergerak ke hadapan demi memastikan variasi kandungan terbaik dapat terus disajikan khusus buat pelanggan kami," katanya

Menurutnya, pada episod istimewa Sabtu ini, ATNMY bakal mengumpulkan penyanyi hebat untuk menghiburkan penonton kelak. 

"Episod itu akan menampilkan bintang-bintang kelahiran program popular terbitan Astro seperti Akademi Fantasia, Big Stage, Maharaja Lawak Superstar, The Masked Singer Malaysia, Gegar Vaganza, Ceria Popstar, Kilauan Emas, Golden Melodies dan sebagainya," katanya.

ATNMY adalah pertandingan nyanyian adaptasi format program United Kingdom iaitu All Together Now terbitan BBC One. Malaysia negara ke-17 dan yang pertama di Asia Tenggara tampil dengan versi tempatan.

Program itu dihoskan Sherry Al Hadad selaku pengacara utama. Di Sebalik All Together Now Malaysia pula dikendalikan Dewi Remaja 2019, Shaza Bae dan Hero Remaja 2020, Nadhir Nasar. 

Pengacara Aswad Jalil dan personaliti media sosial Norreen Iman pula bergandinga sebagai hos All Together Now Malaysia Live Plus.

Ia ditayangkan secara serentak dengan konsert mingguan di platform digital. 

Seramai 50 juri merangkumi penyanyi, pelakon, pelawak, penyampai radio, pengacara dan personaliti media sosial dilantik mengadili program itu. Mereka diketuai Datuk AC Mizal selaku Kapten Juri. 

Nasib peserta akan diadili berdasarkan sistem penjurian kalah mati. Dua peserta dengan markah tertinggi setiap episod akan mara ke peringkat akhir untuk merebut gelaran juara dan hadiah wang tunai RM50,000 beserta trofi.

Pada Jun lalu, ATNMY terpaksa ditunda selepas siarannya mencetus kontroversi. Kecoh di media sosial bahawa program itu didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) sehingga Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan berkenaan susulan dakwaan pelanggaran SOP.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 2:18 PM