Raqim Ahmad.
Raqim Ahmad.
Oleh Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Astro kekal dengan keputusan menunda tayangan program hiburan terbaharu All Together Now Malaysia (ATNM) sehingga ke satu tarikh yang akan diumumkan kelak.

Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad ketika dihubungi berkata, pihaknya mahu memberi laluan kepada siasatan menyeluruh daripada semua pihak terbabit.

"Kami akan memaklumkan kepada semua tarikh baharu siaran apabila segalanya selesai," katanya kepada Harian Metro.

Kenyataan itu bagi menjawab laporan media berkenaan tiada kertas siasatan dibuka oleh pihak polis susulan dakwaan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh selebriti yang terbabit dalam rakaman ATNMY yang tular baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, selepas semakan dibuat, pihaknya mendapati rakaman program itu dibuat sebelum arahan PKP 3.0 dikuatkuasakan.

Untuk rekod, ATNMY memulakan siaran episod pertama pada 6 Jun lalu dan sepatutnya bersiaran setiap Ahad jam 9 malam di saluran Astro Ria.

Bagaimanapun, tular di media sosial apabila program yang menampilkan 50 juri itu didakwa melanggar SOP sehingga memaksa pihak Majlis Keselematan Negara (MKN) mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan berkenaan susulan dakwaan pelanggaran SOP.

Susulan itu, Astro dalam satu kenyataan pada 8 Jun lalu memutuskan untuk menghentikan sementara program terbabit sehingga siasatan berkaitan dakwaan berlakunya pelanggaran SOP selesai.

Menerusi kenyataan itu, Raqim berkata, rakaman program itu dibuat pada Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan PKP 3.0.

"Kru penerbitan sudah menjalankan ujian calitan Covid-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula. Hanya mereka yang berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman.

"Set yang dibina mengambil kira penjarakan fizikal dan berjarak 1.5 meter antara setiap juri di samping penghadang lutsinar turut diletakkan bagi memisahkan mereka," katanya.

Dimaklumkan, rakaman program terbabit juga turut dihadiri wakil agensi-agensi keselamatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 9:09 AM