Raqim Ahmad
Raqim Ahmad
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Pihak penerbitan rancangan All Together Now Malaysia memutuskan untuk menghentikan sementara program terbabit sehingga siasatan berkaitan dakwaan berlakunya pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) selesai.

Menurut Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro, Raqim Ahmad rakaman program itu dibuat pada Mac lalu di Putrajaya sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

"Krew penerbitan sudah menjalankan ujian calitan Covid-19 ke atas semua yang mengambil bahagian sebelum rakaman bermula. Hanya mereka yang berstatus negatif sahaja dibenar meneruskan rakaman.

"Set yang dibina mengambil kira penjarakan fizikal dan berjarak 1.5 meter antara setiap juri di samping penghadang lutsinar turut diletakkan bagi memisahkan mereka," katanya.

Dimaklumkan, rakaman program terbabit juga turut dihadiri wakil agensi-agensi keselamatan.

Terdahulu, satu laporan berita tempatan memaklumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan agar siasatan dilakukan ke atas penerbitan rancangan berkenaan susulan dakwaan pelanggaran SOP.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rabin Basir berkata siasatan ke atas rancangan itu akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM), jelas laporan itu. 

Laporan berkenaan turut memetik bahawa KKMM akan mengambil tindakan sewajarnya, jika mereka mengenal pasti wujud berlakunya pelanggaran SOP sepanjang rakaman program berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Jun 2021 @ 10:12 PM