LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
LAPORAN portal Harian Metro sebelum ini.
Nurul Hidayah Bahaudin


Putrajaya: Polis akan memanggil semua pihak yang terbabit dalam penerbitan program televisyen, All Together Now Malaysia termasuk 50 juri bagi membantu siasatan dakwaan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Putrajaya Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali berkata, pihaknya menerima satu laporan daripada seorang lelaki yang tidak berpuas hati dan mendakwa program terbabit melanggar SOP PKP, pada 5.55 petang, 8 Jun lalu.

"Siasatan awal mendapati penggambaran program itu dilakukan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 3 Mac hingga 11 April lalu dengan merujuk SOP Sektor Industri Kreatif-Acara Langsung (Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan - PKPP) yang sedang berkuat kuasa ketika itu.

"Pihak penerbit program dikehendaki mematuhi SOP PKPP yang membenarkan rakaman berlangsung dengan kehadiran penonton tidak melebihi 50 peratus kapasiti serta mematuhi SOP berkaitan saringan kesihatan, pemakaian pelitup muka dan penjarakan fizikal," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Fadzil berkata, pihaknya menjalankan siasatan berhubung perkara itu mengikut Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (Kawalan Pergerakan Pemulihan) (No. 3) 2021 kerana tidak mematuhi SOP PKPP dengan tidak memakai pelitup muka di tempat awam.

"Selain itu, siasatan kes itu turut dilakukan mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan (Akta 574) iaitu perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan apa-apa penyakit berbahaya.

"Pihak yang terbabit termasuk 50 juri selebriti akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya untuk tindakan lanjut dan kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya sebaik siasatan selesai," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya terus kekal mematuhi SOP PKP ditetapkan pihak berkuasa dalam usaha mencegah dan memutuskan rantaian penularan jangkitan pandemik Covid-19 selain tidak mensensasikan fakta atau isu berkenaan dengan kes ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan Majlis Keselamatan Negara mengarahkan supaya siasatan dibuat ke atas sebuah program hiburan syarikat televisyen swasta susulan dakwaan pelanggaran SOP.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Rabin Basir memaklumkan siasatan ke atas rancangan berkenaan akan dikendalikan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Jun 2021 @ 6:06 PM