GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Mohd Amin Jalil


Seremban: Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sembilan (JPVNS) mengesahkan Negeri Sembilan tidak mempunyai kes ternakan yang dijangkiti penyakit kulit kental/berbonjol (LSD), setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir berkata, ujian makmal yang dijalankan terhadap sampel daripada seekor lembu di Rembau menunjukkan keputusannya adalah negatif.

"Kita menerima keputusan ujian makmal daripada Pusat Penyelidikan Veterinar di Ipoh Perak pagi ini.

"Ini membuktikan setakat ini tiada haiwan ternakan di negeri ini yang dijangkiti penyakit LSD," katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, JPVNS mengesan seekor lembu di Rembau dekat sini mempunyai tanda klinikal dijangkiti penyakit berkenaan selepas pemeriksaan dilakukan di 82 pusat penternakan haiwan di seluruh negeri.

Susulan itu, sampel ternakan haiwan terbabit dihantar ke Pusat Penyelidikan Veterinar Ipoh, Perak untuk diuji.

Bakri berkata, JPVNS akan terus memantau dan mengambil tindakan sewajarnya dalam menyekat penularan penyakit berkenaan.

"Saya menasihatkan penternak supaya segera melaporkan kepada JPVNS sekiranya terdapat tanda ternakan mereka kurang sihat atau dijangkiti penyakit berkenaan, bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil," katanya.

Penyakit LSD mula dikesan menular di beberapa negara Asia termasuk di India, Nepal, Bangladesh, Bhutan, China, Vietnam, Myanmar dan terkini di Thailand.

Ia disebabkan oleh virus Poxviridae dan boleh tersebar kepada ternakan lembu melalui gigitan vektor serangga seperti nyamuk dan sengkenit serta boleh berjangkit melalui rembesan air liur dan hidung lembu yang dijangkiti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Jun 2021 @ 2:27 PM