PENYAKIT kulit kental pada ternakan. FOTO MAQIS
PENYAKIT kulit kental pada ternakan. FOTO MAQIS
Abnor Hamizam Abd Manap

Jelebu: Penternak lembu dan kerbau di seluruh negeri ini diminta berhati-hati dengan penyakit kulit kental yang boleh memberi kesan ekonomi kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan negeri Datuk Bakri Sawir berkata, ketika ini satu kes disyaki penyakit berkenaan dikesan di Rembau namun ia masih dalam kajian makmal.

Katanya, penyakit bawaan virus itu menjangkiti lembu dan kerbau melalui gigitan serangga seperti nyamuk, agas dan kutu selain melalui pergerakan keluar masuk ternakan yang berpenyakit.

"Tanda-tanda ternakan diserang penyakit berkenaan adalah lelehan atau lendir di kawasan mata dan hidung, pengeluaran susu berkurangan, demam dengan suhu tinggi sehingga 41 darjah Celsius, pembesaran nodul limpa di kawasan 'subscapula' dan 'prefemoral' yang boleh dirasa dengan tangan.

"Sekiranya ternakan dijangkiti, langkah kawalan dengan mengasingkan ternakan, memantau tahap kesihatan serta mengenal pasti ternakan yang menunjukkan tanda-tanda klinikal dan memastikan tiada sebarang pergerakan keluar masuk ternakan di ladang perlu diambil," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bakri berkata, penternak terbabit juga perlu menghubungi pejabat veterinar berhampiran bagi membolehkan tindakan susulan dijalankan.

Berikutan itu, katanya, penternak perlu meningkatkan biosekuriti ladang, mengawal pergerakan keluar masuk ternakan, kenderaan dan individu, mengelakkan kemasukan haiwan baharu yang tidak diketahui status kesihatan serta memastikan kawasan punca virus dibersihkan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Klawang itu berkata, ternakan yang dijangkiti tidak boleh disembelih serta sebarang akitiviti pemindahan tidak dibenarkan.

Katanya, penternak yang gagal melaporkan penyakit ini kepada pihak berkuasa veterinar boleh didenda sehingga tidak melebihi RM25,000 mengikut Seksyen 31(2) dan Seksyen 31(4A) Akta Binatang 1953 (Akta 647).

"Kegagalan mengawal penyakit ini boleh memberi kesan terhadap aktiviti penternakan sekali gus memberi kesan kepada ekonomi penternak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 2:52 PM