FOTO ARKIB NSTP
FOTO ARKIB NSTP
Zatul Iffah Zolkiply


Kuala Terengganu: Umat Islam yang akan melaksanakan ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha perlu mendapatkan permit penyembelihan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV).

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Luar Bandar Terengganu Dr Azman Ibrahim berkata, langkah itu bagi memastikan ternakan yang disembelih bebas daripada sebarang penyakit bagi menjamin keselamatan makanan.

Menurutnya, permohonan permit bukan untuk menyusahkan mana-mana pihak sebaliknya bagi memastikan ternakan itu melalui pemeriksaan bagi mengesan kewujudan wabak penyakit yang kebiasaannya menyerang ternakan seperti hawar berdarah, penyakit kuku mulut dan penyakit kulit kental/berbonjol (LSD).

"Tujuannya sebab kita mahu memastikan ternakan itu sihat kerana bimbang haiwan yang disembelih dijangkiti wabak penyakit. Permit boleh dipohon di pejabat-pejabat JPV berhampiran untuk memudahkan pemprosesan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dr Azman turut memberi jaminan haiwan ternakan untuk ibadah korban pada tahun ini mencukupi serta bebas daripada penyakit seperti hawar berdarah dan LSD.

Terdahulu, umat Islam di Terengganu dibenarkan melakukan ibadah korban dan akikah di perkarangan rumah, masjid atau surau sempena Aidiladha tahun ini, selain di rumah sembelihan JPV, rumah sembelihan swasta yang berlesen atau kawasan lapang.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Jun 2022 @ 2:21 PM