GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) memberi kebenaran untuk menambah tempat sembelihan ibadah korban di Kelantan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, penambahan tempat sembelihan itu boleh dilakukan di lokasi lain selain dari masjid bandar, jajahan dan mukim.

Katanya, lokasi yang sesuai itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Kawasan yang dicadangkan perlu diadakan di dalam kawasan berpagar dan mempunyai keluasan mencukupi (sekurang-kurangnya 10 meter persegi) dan dikawal selia oleh pihak masjid bandar, jajahan atau mukim

"Tapak penyembelihan juga perlu sesuai iaitu bersih, selamat dan tidakberhampiran dengan saliran awam serta mendapat kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Jumlah maksimum sembelihan korban hendaklah tidak melebihi lima ekor sehari dan 20 ekor (lembu) dalam tempoh empat hari dari 20 Julai hingga 23 Julai," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Beliau yang juga Tengku Temenggong Kelantan berkata, kebenaran ibadah korban di lokasi lain kerana ada masjid tidak memenuhi kriteria ditetapkan apabila tidak mempunyai kawasan berpagar serta keluasan kurang daripada 10 meter persegi dan mendapat permohonan sembelihan korban melebihi 20ekor dalam tempoh empat hari.

Katanya, kepatuhan semua pihak iaitu penganjur, peserta dan petugas dalam pelaksanaan ibadah korban insya-Allah akan mengurangkan risiko dan membendung penularan wabak Covid-19.

"Diharapkan dengan pelaksanaan dan pematuhan garis panduan ibadah korban akan dapat membantu usaha memutuskan rangkaian wabak Covid-19," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Julai 2021 @ 12:51 PM