Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Kelantan (Maik) meminta semua imam di seluruh masjid di negeri ini supaya tidak menjadikan masjid sebagai gelanggang politik dan tempat berkempen.

Yang Dipertua Maik yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz bertitah, satu surat pentadbiran sudah dikeluarkan oleh Maik pada 11 Oktober lalu.

Titah baginda, surat itu berkaitan penangguhan pengeluaran kebenaran khas mengajar agama kepada penceramah di masjid bandar, jajahan dan mukim di seluruh Kelantan.

Ia bagi mengelakkan masjid daripada menjadi lokasi kempen kumpulan tertentu bagi menyampaikan agenda yang dibawa.

"Saya mengingatkan pegawai masjid supaya perlu memastikan penceramah yang memiliki tauliah mengajar agama daripada Maik sahaja yang dibenarkan menyampaikan ceramah di masjid sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 91 Enakmen Maik.

"Hal ini termasuk menyampaikan khutbah yang mana pegawai masjid dan khatib undangan yang dilantik sahaja dibenarkan menyampaikannya bagi mengelak mimbar yang suci dijadikan 'gelanggang' kempen bagi tujuan kepentingan peribadi dan juga kumpulan tertentu," titah baginda.

TAN Sri Mohamad Rizam (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan fidyah kepada salah seorang imam masjid bandar  di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi
TAN Sri Mohamad Rizam (tengah) menyampaikan replika cek sumbangan fidyah kepada salah seorang imam masjid bandar di sini, hari ini. FOTO Hazira Ahmad Zaidi

Baginda bertitah demikian kepada media selepas Majlis Amanat Yang Berhormat Mulia Tengku Yang Dipertua Maik Bersama Imam-Imam Kelantan Tahun 144H/2022M di Dewan Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji di sini, hari ini yang dihadiri lebih 610 imam dari seluruh negeri.

Pada majlis itu, baginda turut menyampaikan sumbangan fidyah hampir RM1 juta kepada 20 masjid bandar dan jajahan di seluruh Kelantan untuk diagihkan kepada keluarga memerlukan di 610 mukim.

Pada masa sama, baginda juga menyampaikan replika cek RM38,500 daripada Dana Awam Maik untuk disumbangkan kepada pengurusan Masjid Teluk Renjuna, Tumpat bagi pembelian bot.

Baginda bertitah, aktiviti politik yang sering kali membawa mesej negatif dan memecah belah boleh mencemarkan kesucian masjid.

"Sejurus Parlimen dibubar selain Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan berlangsung dalam masa terdekat, iklim politik tanah air berubah kepada mod kempen pilihan raya.

"Sebagai peringatan, semua pegawai masjid mukim tidak dibenarkan untuk terbabit secara langsung dalam apa jua kempen mahupun aktiviti dan urusan yang membabitkan politik kepartian sepanjang tempoh pilihan raya walaupun mempunyai ideologi dan fahaman politik tersendiri," titah baginda.

Baginda bertitah, sifat orang yang beriman adalah sentiasa menyeru kepada perdamaian dan menjauhi perkara yang mengakibatkan perpecahan.

"Justeru, masjid mesti menjadi medan menyatukan ummah daripada pelbagai ideologi politik dan fahaman dan dalam hal ini, pegawai masjid harus bebas daripada pengaruh politik kepartian," titah baginda.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Oktober 2022 @ 1:00 PM