FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Hazira Ahmad Zaidi


Kota Bharu: Pelaksanaan solat Jumaat di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim di Kelantan dibenarkan dengan bilangan jemaah maksimum 50 orang mulai Jumaat ini, sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 4 Februari depan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) yang juga Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, bagi solat fardu di masjid negeri, bandar, jajahan dan mukim pula dibenarkan dengan bilangan jemaah tidak melebihi 12 orang termasuk imam tua, imam muda, bilal, siak, dan ahli jawatankuasa sahaja.

Beliau berkata, bagi solat fardu di surau dan musalla hanya lima orang ahli jemaah sahaja dibenarkan termasuk imam, bilal dan ahli jemaah terpilih.

"Semua jemaah perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan solat Jumaat dan fardu sebagaimana dikeluarkan sebelum ini.

"Perkara ini mendapat perkenan Sultan Kelantan Sultan Muhammad V sebagai Ketua Agama Islam Negeri sebagaimana peruntukan Perkara 6 (1) Undang-undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, MAIK amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam melaksanakan ketetapan ini.

Menurutnya, pada masa sama, SOP seperti dikeluarkan sebelum ini hendaklah dipatuhi sepenuhnya oleh pihak pengurusan masjid, surau atau musalla dan tindakan sewajarnya akan diambil jika gagal untuk mematuhinya.

"Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah SWT pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 January 2021 @ 5:19 PM