GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
GAMBAR hiasan. FOTO Bernama
Amir Abd Hamid; Sri Ayu Kartika Amri dan Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Malaysia merekodkan 79 kes kematian akibat Covid-19, hari ini.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, masing-masing 15 kes dilaporkan di Selangor dan Negeri Sembilan, 13 kes di Kedah, 12 kes di Johor dan lima kes di Pulau Pinang.

Sementara itu, empat kes masing-masing dilaporkan di Terengganu dan Melaka manakala Kuala Lumpur serta Sarawak masing-masing merekodkan tiga kes.

Katanya, dua kes pula dilaporkan di Sabah, dan masing-masing satu kes di Labuan, Perak dan Pahang.

"Terdapat 17 kluster baharu membabitkan jumlah keseluruhan kluster setakat ini sebanyak 2,163 yang mana 1,528 jumlah kluster yang telah tamat dan 635 kluster masih aktif.

"Seperti yang KKM telah maklumkan kepada umum, keadaan penularan Covid-19 semakin meruncing.

"Nilai Rt negara yang terkini adalah 1.16 dan jumlah kes dilaporkan saban hari mulai menunjukkan trend kenaikan yang lebih mendadak, mengikut graf eksponential. Kenaikan 1,000 sehingga 2,000 kes sehari adalah tidak mustahil.

"Kita telah lihat sebanyak 98 kes kematian harian akibat Covid-19 pada 29 Mei 2021. Situasi ini juga mungkin akan berterusan dan tidak mustahil boleh terus meningkat lagi.

"Malah, jumlah katil di ICU, hospital-hospital Covid-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 semakin berkurangan dan berkemungkinan akan habis.

"KKM juga telah memberi amaran kemungkinan berlaku situasi di mana doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil ICU bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya adalah lebih rendah (poor prognosis).

"Ini adalah situasi sukar yang mendepani kita semua, dan KKM ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama berganding bahu bagi hadapi sekarang," katanya.

Beliau berkata, peranan perlu dimainkan semua pihak, tidak kira kerajaan, agensi berkaitan dan juga rakyat secara keseluruhannya," katanya dalam sidang media bersama Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Mei 2021 @ 6:45 PM