Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian saringan COVID-19. - Gambar hiasan
Kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian saringan COVID-19. - Gambar hiasan
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenal pasti 20 kluster baharu Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kluster di negara ini sebanyak 2,102 kluster dengan 604 kluster aktif.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kluster baharu itu, terdapat lapan kluster berkaitan komuniti, tujuh kluster tempat kerja, tiga kluster keagamaan dan masing-masing satu kluster pusat tahanan serta institusi pendidikan swasta.

Menurutnya, daripada jumlah itu, lima kluster di Johor dan Kelantan manakala tiga kluster di Selangor, dua kluster di Pahang serta masing-masing satu kluster di Kuala Lumpur, Sabah, Sarawak, Perak dan Melaka.

"Kluster komuniti yang dilaporkan hari ini adalah Kluster Jalan Pinang 39 yang merekodkan 16 kes positif Covid-19, Jalan Wawasan Tanjung (16), Serom Lima (19) dan Jalan Rusa Waha (23).

"Selain itu, Kluster Sri Sentosa (24), Telok Kemunting (19), Kampung Banggol Petaling (21) dan Desa Ranggu (18)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagi kluster tempat kerja pula, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 12 kes positif dilaporkan dalam Kluster Beg Berkunci manakala Persiaran Kuala 2 merekodkan 32 kes, Selumit (19), Sri Mahang (24), Jalan Tahana Industri (6), Taman Shamelin (31) dan Batu Sepuluh Jalan Gambang (7).

Beliau berkata, kluster keagamaan membabitkan Kluster Tebuk Binjai yang merekodkan 14 kes positif Covid-19 manakala 10 kes bagi Kluster Jalan Syawal dan 80 kes bagi Kluster Jalan Cenderawasih.

"Kluster pusat tahanan iaitu Kluster DTI Tanah Merah pula sudah merekodkan 105 kes positif Covid-19 dan kluster institusi pendidikan iaitu Kluster Jalan Kolej Yayasan merekodkan 16 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Mei 2021 @ 8:54 PM