KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) mengambil sampel ujian saringan Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) PKD SPU di Sungai Dua, Tasek Gelugor. FOTO Danial Saad
KAKITANGAN Pejabat Kesihatan Daerah Seberang Perai Utara (PKD SPU) mengambil sampel ujian saringan Covid-19 di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) PKD SPU di Sungai Dua, Tasek Gelugor. FOTO Danial Saad
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di negara ini sehingga semalam adalah 0.88.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, negeri yang mencatatkan nilai RT tertinggi adalah Putrajaya dengan 1.08 diikuti Negeri Sembilan (1.04) dan Perlis (1.01).

"Semua negeri mencatatkan nilai Rt kurang daripada 1.0 kecuali ketiga-tiga negeri berkenaan, manakala Labuan pula kekal merekodkan nilai Rt 0," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, secara keseluruhannya, terdapat 5,611 kluster dengan 4,823 kluster dilaporkan tamat, manakala 783 kluster lagi masih aktif, setakat ini.

Beliau berkata, KKM mengenal pasti 14 kluster baharu yang dilaporkan membabitkan dua di Pulau Pinang, Selangor (3), Johor (4), dan masing-masing satu di Pahang, Melaka, Sarawak, Perak dan Kuala Lumpur, hari ini.

"Daripada 14 kluster berkenaan, enam adalah kluster dari tempat dan lima lagi kluster komuniti.

"Selain itu, terdapat masing-masing satu kluster direkodkan membabitkan kumpulan berisiko tinggi, pendidikan lain serta institusi pendidikan swasta yang berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes baharu Covid-19 mencatatkan sedikit peningkatan apabila merekodkan 7, 276 kes hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 2,353,579 kes.

Beliau berkata, daripada 7,276 kes direkodkan hari ini, sebanyak 150 kes atau 2.1 peratus adalah kategori 3, 4 dan 5, manakala 7,126 lagi kes atau 97.9 peratus adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2.

"Daripada jumlah kes dilaporkan hari ini, 10 kes adalah kes import, manakala 7,266 kes lagi membabitkan penularan tempatan.

"Terdapat 724 kes positif sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) membabitkan 683 kes Covid-19, manakala 41 kes dalam siasatan dengan 398 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Sebanyak 10,555 kes dilaporkan pulih hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah 2,217,057 kes atau 94.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 7:33 PM