DR Noor Hisham, gambar fail. FOTO Bernama
DR Noor Hisham, gambar fail. FOTO Bernama
Yusmizal Dolah Aling


Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 1,300 kes baharu positif Covid-19 hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu bertambah kepada 353,868 kes dengan kebolehjangkitan 14,161 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 24 daripada kes baharu itu adalah kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara, manakala selebihnya penularan tempatan.

Beliau berkata, tiga negeri mencatatkan pertambahan kes tiga angka hari ini iaitu Sarawak dengan 385 kes, diikuti Selangor (242) dan Kelantan, 126 kes.

"Sarawak melaporkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 385 kes dengan 352 kes adalah daripada kluster dan saringan kontak rapat Covid-19 yang aktif dijalankan di lapangan.

"Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 242 kes dan Kelantan sebanyak 126 kes ," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, daripada 14,161 kes aktif di negara ini, 189 kes dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 88 kes memerlukan bantuan pernafasan.

"Terdapat lima kes kematian pada hari ini membabitkan tiga kes di Sabah dan masing-masing satu kes di Selangor dan Kelantan.

"Semua kes kematian membabitkan warganegara. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka," katanya.

Mengulas berhubung kluster baharu, beliau berkata, ada 10 kluster baharu yang dikenal pasti hari ini yang membabitkan lima kluster tempat kerja, tiga kluster komuniti, serta masing-masing satu kluster pusat tahanan dan kluster keagamaan.

"Sebanyak 11 kluster turut dilaporkan tamat pada hari ini menjadikan keseluruhan kluster yang aktif sebanyak 1,421 kluster," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 April 2021 @ 8:43 PM