GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin

Kuala Lumpur: Situasi Covid-19 di Malaysia yang semakin pulih dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini menunjukkan kesediaan negara dan masyarakat untuk memasuki fasa endemik.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia dapat dilihat menerusi aspek purata kes harian, jumlah kluster, kadar vaksinasi dan kapasiti hospital.

Katanya, hari ini sebanyak 6,709 kes Covid-19 dilaporkan, manakala 10,833 kes pulih yang menjadikan kumulatif kes pulih adalah 2,206,502.

"Secara keseluruhannya KKM (Kementerian Kesihatan) mendapati trend menurun sejak Minggu Epidemiologi (ME) ke-34 bagi indikator utama seperti kes harian, kes aktif, kematian, kes ICU, dan yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

"Pada ME ke-40 iaitu daripada 3 Oktober 2021 sehingga 9 Oktober 2021, sebanyak 133,806 kes aktif dilaporkan yang menunjukkan penurunan 21.0 peratus berbanding ME ke-39.

"Penurunan 50.2 peratus kes kematian berbanding ME ke-39; kes yang memerlukan rawatan di ICU juga menurun 9.0 berbanding ME ke-39, manakala penurunan nilai R-Naught (Rt) sebanyak 0.2 peratus setiap hari," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai kes harian, Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 144 kes atau 2.1 peratus daripada 6,709 kes yang dilapor hari ini adalah kategori tiga, empat dan lima.

"Sebanyak 6,565 lagi kes atau 97.9 peratus kategori satu dan dua, selain enam kes merupakan kes import dan selebihnya penularan tempatan.

"Terdapat 762 kes memerlukan rawatan di ICU, yang mana 398 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Dalam pada itu, KKM mengenal pasti sembilan kluster baharu yang dilaporkan di Kelantan, Pahang, Negeri Sembilan, Johor, Selangor dan Pulau Pinang.

Katanya, daripada itu, empat adalah kluster komuniti dan masing-masing dua kluster tempat kerja serta kumpulan berisiko tinggi selain kluster pendidikan lain.

"Daripada jumlah kluster yang direkodkan, masing-masing dua kluster dilaporkan di Johor, Selangor dan Kelantan selain masing-masing satu kluster dicatatkan di Negeri Sembilan, Pahang serta Pulau Pinang.

"Sebanyak 5,597 kluster dilaporkan sehingga kini dengan 4,803 kluster dilaporkan tamat, manakala 794 kluster lagi masih aktif, setakat hari ini (semalam)," katanya.

Menurutnya, data terkini kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) penularan jangkitan Covid-19 di Malaysia adalah pada 0.87, dengan negeri mencatat Rt tertinggi adalah Putrajaya iaitu 1.05 diikuti Perlis (1.03) dan Negeri Sembilan (1.02).

"Semua negeri mencatatkan nilai Rt kurang daripada 1.0 kecuali ketiga-tiga negeri berkenaan, manakala Labuan pula kekal merekodkan nilai Rt 0," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Oktober 2021 @ 7:43 PM