NURUL Wahida Kamarudin sambil mendukung anaknya, bayi jantung berlubang, NurulAishah di rumahnya di Felda Kota Gelanggi Dua. FOTO Roselan Ab Malek
NURUL Wahida Kamarudin sambil mendukung anaknya, bayi jantung berlubang, NurulAishah di rumahnya di Felda Kota Gelanggi Dua. FOTO Roselan Ab Malek
Roselan Ab Malek


Jerantut: Pasangan suami isteri generasi kedua Felda Kota Gelanggi Dua, di sini, akur berdepan dengan ujian Allah apabila bayi mereka berusia 35 hari dilahirkan dalam keadaan jantung berlubang.

Selain penyakit anak bongsu mereka itu, Mohd Nazrul Mat Zain, 39, dan Nurul Wahida Kamarudin, 36, yang mempunyai lima anak berusia antara 35 hari hingga 15 tahun tinggal di rumah sempit, binaan uzur dan persekitaran tidak selesa.

Nurul Wahida, berkata, doktor Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh memberitahu anaknya, Nurul Aishah yang berusia lebih sebulan itu mengalami jantung berlubang selepas dilahirkan.

"Memang sedih apabila mendengar berita ini, namun reda dengan ujian Allah buat kali kedua kerana sebelum ini anak ketiga kami, Nurul Shafiera yang berusia 10 tahun turut menanggung derita sama dan sudah menjalani pembedahan pada tahun lalu.

"Kemungkinan kami akan berulang alik ke HoSHAS Temerloh untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan susulan bayi ini sebelum ke Institut Jantung Negara (IJN)," katanya.

Nurul Wahida berkata, selepas dilahirkan anak bongsunya itu kerap menangis dan kulitnya menjadi biru lalu doktor membuat pemeriksaan dan mengesahkan bayi itu menghidap jantung berlubang.

Menurutnya, dia dimaklumkan pembedahan akan dilakukan apabila Nurul Aishah sudah besar dan kemungkinan sama seperti kakaknya yang menjalani pembedahan ketika berusia sembilan tahun.

Katanya, walaupun kos pembedahan Nurul Shafiera pada tahun lalu ditanggung menerusi subsidi kerajaan, tetapi dia dan suaminya berdepan kesulitan untuk mendapatkan wang tambahan rawatan, belanja berulang alik sebelum pembedahan.

"Selain itu, belanja ketika tinggal di IJN dan kebajikan tertentu bakal diuji dan ditempuh sekali lagi bagi rawatan bayi kami nanti.

"Kesusahan cukup terasa apabila kami tinggal di rumah sempit dan binaan tidak sempurna kerana suami bekerja sendiri di Felda ini hanya memperoleh pendapatan antara RM600 hingga RM800 sebulan.

"Pendapatan suami tidak cukup untuk menampung belanja dapur dan berjimat untuk anak bersekolah," katanya.

Orang ramai boleh menyumbang dengan menghubungi Nurul Wahida Kamarudin di talian 013 7154171 atau terus ke akaun Maybank (Nurul Wahida) bernombor 156141469872.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Mei 2021 @ 2:38 PM