INTAN Fatihah.
INTAN Fatihah.
INTAN Fatihah bersama suaminya Muhammad Ayob Abdul Samad melihat keadaan Muhammad Baqriee.
INTAN Fatihah bersama suaminya Muhammad Ayob Abdul Samad melihat keadaan Muhammad Baqriee.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kajang: “Jika ada wang mencukupi, hari ini saya hantar anak ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pembedahan.

“Tetapi, kerana tiada wang menyebabkan ia tertangguh sehingga kini,” demikian luahan Intan Fatihah Muda, 27.

Intan Fatihah adalah ibu kepada Muhammad Baqriee al-Zakir Muhammad Ayob berusia tujuh tahun yang menghidap penyakit jantung berlubang sejak dilahirkan, tetapi tidak dapat menjalani pembedahan kerana masalah kewangan.

Selain itu, Muhammad Baqriee al-Zakir mempunyai dua masalah kesihatan lain iaitu usus kecil dan saluran darah berlubang.

Ibu kepada tiga anak itu berkata, dia menyedari risiko bakal terjadi terhadap anaknya disebabkan tidak menjalani pembedahan, malah doktor memberitahu kemungkinan Muhammad Baqriee al-Zakir boleh meninggal dunia sebelum mencapai usia 20 tahun.

“Memang saya sedih teringat kata doktor, tetapi saya pendamkan perasaan kerana buntu memikirkan bagaimana mahu mendapatkan wang.

“Kos pembedahan jantung berlubang anak sebesar syiling 10 sen
dianggarkan RM40,000,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Katanya, sehingga kini dia tidak tahu bila pembedahan boleh dilakukan dan naluri keibuannya tersentuh setiap kali anaknya mengadu sakit dada jika kepenatan.

Mengimbau kembali kisah sedihnya tujuh tahun lalu, Intan Fatihah berkata, Muhammad Baqriee al-Zakir dilahirkan awal dua bulan dan dikesan menghidap penyakit jantung berlubang selepas seminggu dilahirkan berikutan degupan jantungnya tidak normal.

“Berat badannya hanya 1.1 kilogram ketika dilahirkan dan dimasukkan ke dalam inkubator selama tiga bulan.

“Itu satu tempoh getir dan saya tidak sanggup melihat keadaannya ketika dirawat dalam inkubator,” katanya.

Katanya, sepatutnya Muhammad Baqriee al-Zakir perlu berada lebih lama dalam inkubator, tetapi memintanya dikeluarkan bagi membolehkannya menjaga anak di rumah.

“Kini anak bergantung dengan makanan tambahan seperti habatussauda dan air gamat serta minum susu khas.

“Saya berharap anak dibedah supaya dia sembuh dan membesar seperti kanak-kanak seusia dengannya,” katanya.

Bagi yang ingin membantu, sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank 162898010073 atas nama Intan Fatihah Muda.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 January 2017 @ 10:33 AM