ANTARA barangan yang dirampas di dua hotel di ibu kota, semalam. FOTO IHSAN POLIS
ANTARA barangan yang dirampas di dua hotel di ibu kota, semalam. FOTO IHSAN POLIS
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Seramai 24 warga asing termasuk lima wanita yang sedang berpesta dadah di dua hotel di ibu kota ditahan, semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, pihaknya menjalankan serbuan berasingan selepas menerima maklumat mengenai kegiatan mereka.

"Dalam serbuan itu, seramai 24 individu terdiri 19 lelaki warga Nigeria dan lima wanita warga Sierra Leonne, Thailand, Kenya serta Tanzania berusia 24 hingga 40 tahun ditahan.

"Pemeriksaan yang dilakukan turut menemui dadah jenis ganja dianggarkan seberat 7.69 gram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan awal mendapati 16 warga asing itu adalah pelajar kolej, manakala selebihnya adalah pelancong dan individu yang bekerja di Malaysia.

"Mereka didapati menyewa bilik hotel untuk berhibur sambil menghisap dadah," katanya.

Katanya, ujian saringan air kencing mendapati 12 daripadanya positif dadah jenis thc.

"Kesemua suspek direman selama 14 hari bermula hari ini sehingga 6 Jun depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 6 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Katanya, mereka juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 9 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 Mei 2021 @ 8:18 PM