GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Raja Noraina Raja Rahim

Kuala Lumpur: Seramai 11 lelaki dan tujuh wanita ditahan polis dalam serbuan parti liar yang diadakan di sebuah kondominium di Jalan Metro Prima Barat, Kepong di sini, awal pagi tadi.

Serbuan jam 1 pagi itu dijalankan hasil maklumat awam dan risikan oleh sepasukan pegawai serta anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, semua individu berusia 19 hingga 42 tahun termasuk empat wanita warga asing itu ditahan ketika sedang mengadakan parti liar.

"Semasa serbuan dibuat, polis mendapati bunyi muzik yang kuat dimainkan dan mereka mengambil minuman keras.

"Pemeriksaan turut menemukan satu paket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis mdma anggaran berat 27.50 gram," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati salah seorang suspek lelaki berusia 27 tahun adalah pemilik unit kondominium itu dan mengaku menjadi penganjur parti berkenaan.

Menurutnya, suspek mendakwa membuat promosi parti liar melalui aplikasi Wechat dengan kadar bayaran RM150 bagi sewaan setiap bilik untuk tempoh tiga jam.

"Suspek didapati mula menjalankan aktiviti berkenaan pada awal bulan ini.

"Ujian saringan air kencing mendapati 12 suspek positif dadah amphetamine, methamphetamine dan ketamin manakala enam lagi suspek negatif," katanya.

Katanya, kesemua suspek ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, semua suspek turut dikompaun masing-masing RM4,000 mengikut Peraturan 17 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 Ogos 2021 @ 2:49 PM