FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Dua pekerja pembersihan sebuah hotel ditahan polis kerana memiliki dadah di Jalan Batang Kali-Genting Highlands, di sini, awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah, berkata lelaki berusia 42 dan 43 tahun itu ditahan di tepi jalan berdekatan pos pengawal Polis Bantuan Genting Highlands pada jam 1.30 pagi oleh sepasukan polis dari Balai Polis Goh Tong Jaya.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerja mereka di Genting Highlands dari Batang Kali.

"Hasil pemeriksaan menjumpai satu paket dadah jenis ganja seberat 3.33 gram dan satu paket dadah jenis syabu seberat 1.95 gram.

"Semakan polis mendapati kedua-dua suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau. Mereka dipercayai menjalankan kegiatan ini sejak enam bulan lalu," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Suffian berkata, ujian air kencing ke atas dua rakan sekerja itu juga mendapati mereka positif dadah jenis THC.

"Semua suspek direman selama empat hari mulai semalam bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 12 (2) akta sama," katanya.

Sehubungan itu, Suffian meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti mencurigakan supaya menyalurkannya kepada polis untuk tindakan lanjut.

"Polis akan mengambil tindakan segera ke atas setiap maklumat serta aduan yang diterima tanpa sebarang kompromi prejudis.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Oktober 2022 @ 11:54 AM